`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, February 24, 2026

Bunuh ahli keluarga: Ajar pendidikan emosi, urus stres di usia muda

 Pakar berkata jika individu mengenali dan memahami emosi, mereka akan tahu bagaimana untuk mengawal dan bertindak.

mangsa bunuh kuantan
Pada 17 Feb lalu dua kanak-kanak perempuan, ibu bapa dan nenek ditemukan maut di sebuah rumah di Taman Cherating Damai, Kuantan, Pahang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Pendidikan emosi dan pengurusan stres perlu diterapkan seawal sekolah rendah sebagai langkah membina daya tahan mental dalam menghadapi tekanan serta cabaran kehidupan moden.

Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nurul Izzati Asyikin Zulkifly, berkata pendedahan awal terhadap kefahaman emosi dan teknik mengurus tekanan mampu mengurangkan risiko masalah kesihatan mental serta kecenderungan kepada tingkah laku agresif dan jenayah dalam institusi keluarga.

Nurul Izzati Asyikin.
Nurul Izzati Asyikin.

Katanya, jika individu mengenali dan memahami emosi, mereka akan tahu bagaimana untuk mengawal dan bertindak.

“Selain memahami emosi, teknik pengurusan stres juga perlu diajar di setiap peringkat umur,” katanya kepada FMT, mengulas beberapa insiden pembunuhan membabitkan institusi keluarga disebabkan masalah kewangan dan kegagalan mengawal emosi.

Pada 17 Feb lalu, dua kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun, ibu bapa masing-masing berusia 32 dan 28 tahun serta nenek, 55, ditemukan maut di sebuah rumah di Taman Cherating Damai, Kuantan, Pahang.

Suspek kes itu dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum mencederakan diri sendiri dan turut maut.

Polis berkata, siasatan awal mendapati kejadian bunuh melibatkan lima sekeluarga itu mungkin bermotifkan kewangan.

Manakala pada 3 Feb, seorang lelaki ditahan kerana disyaki membunuh ibunya di Kedah.

Soal siasat mendapati suspek pulang ke rumah mangsa untuk meminta sejumlah wang namun permintaan itu ditolak. Dia kemudian menikam mangsa di bahagian dada sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri.

Siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai hutang pinjaman ‘along’.

Mengulas lanjut, Nurul berkata kesihatan mental memainkan peranan besar dalam kes jenayah berpunca daripada masalah kewangan kerana tekanan kronik menjejaskan fungsi otak yang mengawal pertimbangan moral dan kawalan diri.

Katanya, tekanan kewangan kronik boleh mencetuskan kemurungan, kebimbangan melampau serta menghakis harga diri dan nilai diri seseorang dengan individu akan berasa gagal memenuhi tanggungjawab harian, sekali gus mendorong perasaan putus asa dan pengasingan sosial.

“Dalam keadaan yang ekstrem, kegagalan menangani tekanan emosi disebabkan tekanan kewangan yang dirasakan tidak tertanggung, boleh meningkatkan risiko cubaan bunuh diri atau membunuh ahli keluarga sebelum membunuh diri, kerana merasakan itu satu-satunya jalan keluar daripada penderitaan kewangan dialami,” katanya.

Afyan Mat Rawi.
Afyan Mat Rawi.

Sementara itu, perunding kewangan Afyan Mat Rawi berkata pendedahan awal terhadap literasi kewangan dan kemahiran pengurusan wang sejak bangku sekolah dilihat langkah penting bagi membina daya tahan emosi serta mencegah tekanan hidup yang boleh mencetuskan konflik serius dalam institusi keluarga.

Katanya, kefahaman tentang cara mengurus pendapatan, hutang dan perbelanjaan bukan sahaja membantu kestabilan kewangan, malah memainkan peranan besar dalam mengekalkan kesejahteraan emosi seseorang.

“Pendidikan awal perlu merangkumi literasi kewangan dan kemahiran pengurusan emosi secara serentak. Pelajar perlu diajar bahawa tekanan hidup adalah normal dan ada cara sihat untuk menanganinya.

“Kemahiran seperti komunikasi, penyelesaian masalah, kawalan emosi, dan mendapatkan bantuan perlu didedahkan sejak kecil. Kefahaman tentang pengurusan wang, hutang, dan perancangan masa depan boleh mengurangkan risiko tekanan ekonomi apabila dewasa kelak,” katanya dari Infaq Consultancy. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.