`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Monday, February 23, 2026

Paris akan jadi pentas promosi Tahun Melawat Perlis

 Ia akan dilaksanakan bersama usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi penganjuran pelbagai acara di sana.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (Gambar Ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis) 23226
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan Promosi Masakan Perlis sempena lawatan ke Paris, Perancis. (Gambar Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis)
PETALING JAYA:
 Kedutaan Besar Malaysia di Paris bercadang membantu mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 menerusi libat urus strategik dengan ejen pelancongan di negara itu bagi memperkenalkan destinasi menarik.

Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dalam kenyataan, berkata usaha itu akan dilaksanakan bersama usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi penganjuran pelbagai acara berprestij di seluruh negara itu.

Ia berkata antara acara itu termasuk Festival Makanan Malaysia, Malaysia Open Day, serta resepsi rasmi di pelbagai hotel terkemuka yang menampilkan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia.

Yayasan itu berkata kedutaan juga sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan serta pempengaruh media Perancis dalam menjayakan inisiatif diplomasi makanan selain akan memperkenalkan keunikan hidangan Kurma Daging Perlis.

Menurut yayasan itu, perkara berkenaan telah dipersembah maklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis Eldeen Husaini Mohd Hashim kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil sempena Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis di Paris, baru-baru ini.

Turut berangkat sama adalah anakanda-anakanda Baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama ialah Setiausaha Pertama Mohd Nizam Halimi dan Setiausaha Kedua, Aida Anum Aminuddin.

Selain itu, YTSP berkata, inisiatif promosi itu dianjurkan kedutaan bersama-sama yayasan terbabit dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) disokong oleh Yayasan Harmoni dan Duwan Easy Eat.

Katanya, ia adalah usaha bersepadu yang bertujuan memperkenalkan identiti rasa dan keistimewaan makanan tradisional Perlis kepada masyarakat antarabangsa, termasuklah di Eropah.

“Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda mempelawa warga Perancis supaya mempertimbangkan Perlis sebagai destinasi pilihan baharu kerana ia menawarkan sisi Malaysia yang berbeza, jauh daripada hiruk-pikuk pelancongan massa.

“Bagi mereka yang menghargai ketenangan dan keaslian alam, negeri ini menyediakan landskap desa yang mempesonakan serta aktiviti luar yang mendamaikan,” katanya.

Sementara itu, Eldeen Husaini pula berkata pada tahun lalu, Malaysia telah merekodkan peningkatan ketibaan pelancong dari Perancis sebanyak 40%.

Katanya, pencapaian memberangsangkan itu adalah hasil usaha berterusan Kedutaan Besar Malaysia bersama Pejabat Tourism Malaysia dan agensi-agensi Malaysia di Perancis serta Malaysia Airlines yang konsisten mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan unggul. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.