`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, February 24, 2026

Antara ‘Ramadan’ dan ‘Ramadhan’

 Peranan institusi bahasa ialah menyeragamkan bukan memuaskan semua hati. Tanpa piawaian, buku teks, akhbar dan dokumen rasmi akan jadi huru-hara.

ronasina

Macam biasa, warganet kita di media sosial memang tak akan berhenti bertekak sebab kita sentiasa sahaja ada isu untuk diperkatakan. Menjelang Ramadan minggu lepas, apabila mendapat tahu ejaan yang betul seperti dicatat di dalam Kamus Dewan ialah ‘Ramadan’, bukannya ‘Ramadhan’ seperti selalu dieja, sekali lagi warganet bising.

“Bukankah kita dah biasa eja Ramadhan? Ia huruf dhod, bukannya huruf dal. Mestilah ejaannya Ramadhan!” sungut kakak yang kerap hadir solat tarawih di masjid tetapi malas hendak berganjak dari tempatnya apabila diminta ke depan untuk penuhkan saf.

Risau agaknya warganet kalau tersalah sebut nanti akan jadi lain maknanya. Tiba-tiba saya teringat bait lagu Selamat Hari Raya nyanyian malar segar Saloma. “Di masa bulan Remdan, kita berpuasa hingga sebulan. Pabila Syawal menjelma, hari raya disambut dengan gembira.”

Senang dan ringkas sahaja Saloma menyebut Remdan. Kalau itu salah, memang payahlah nak ditukarkan. Andai ada penyanyi mahu rakam semula lagu tersebut, haruslah menyebut Ramadan dengan betul. Terkenang juga saya kepada lagu pop yeh-yeh nyanyian A Halim berjudul Kisah Dan Tauladan. Sebenarnya yang betul ‘teladan’, bukan ‘tauladan’. Tapi, sebab ia sudah dirakam – layan sahajalah ia sebagai sebuah karya lama. Tak usah diberat-beratkan!

Tapi, isu ejaan Ramadan ini membuatkan orang awam melawan badan autoriti penjaga bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang malas mengeja penuh apabila membuat posting pun turut membangkang mempertahankan apa yang selama ini mereka amalkan. Sebagaimana selama ini kita menulis perkataan taksub atau redha yang mana sebenarnya di pihak autoriti ia salah. Ejaan sebenarnya ialah taasub dan reda. Kerana politik pula kita menukar ejaan biadab kepada biadap sebab tiga huruf terakhir itu adalah untuk menyindir sebuah parti politik. Lama-lama ramai terbiasa dengan ejaan yang salah itu.

Punca ramai yang marah adalah kerana sebutan lisan perkataan Ramadan tersebut sudah sebati dengan lidah kita (romadhon) dan mengapa pula ia dieja lain apabila kita pindahkannya ke bahasa persuratan.

“Kalau begitu, bagaimana dengan perkataan lain yang sudah lama kita terima pakai walhal perkataan itu juga pinjaman? Dewan Bahasa dan Pustaka menyesuaikan ejaan dengan sebutan lidah Melayu,” komen seorang guru bahasa.

“Perkataan ‘mayat’ contohnya telah diMelayukan. Jika tidak, susah kita nak sebut ‘mayyit’. Nama ‘Abu Bakar’ sahabat nabi pun kalau ikut sebutan Arab berbunyi ‘Abu Bakr’. Kan susah kita nak sebut?” katanya lagi dengan disertai emoji ketawa.

Betul juga. Susah nak sebut ‘awwal’ maka lidah kita menyebut ‘awal’. Dun-ya sudah jadi dunia. Malah, ejaan Allah kita boleh terima sedangkan sebutannya seakan Alloh dan bunyinya lebih tebal.

Sebenarnya perbahasan ini bukan sekadar soal satu huruf ‘h’ dihilangkan pada ejaan Ramadan. Ia soal falsafah bahasa. Badan kajian bahasa Melayu ini sejak dahulu memilih jalan memudahkan sebutan penuturnya. Kita tidak mengekalkan semua ciri fonetik bahasa asal kerana tujuan bahasa ialah difahami, bukan dipamerkan kesetiaannya kepada lidah asing. Sebab itu kita tulis ‘fikir’, bukan ‘fikr’. Kita tulis ilmu, bukan a’ilm (sebutan huruf a dikeraskan sebab huruf ain, bukan alif). Kita tulis hakikat, bukan ‘haqiqat’. Semua ini kompromi antara ketepatan asal dan keselesaan lidah tempatan. Kalau semuanya mahu dikekalkan persis bahasa Arab, mungkin kelas tajwid pula perlu diwajibkan sebelum lulus subjek bahasa Melayu.

Ada juga yang berhujah, “Ini soal agama, bukan sekadar bahasa.” Tetapi bukankah agama itu sendiri tersebar melalui pelbagai bahasa? Umat Islam di Turki menyebut ‘Ramazan’ dan ‘Allahu Ekber’. Di Indonesia, loghat pekat Jawa kedengaran sengau bila membaca Alhamdulillahi rabbil-alamin menjadi ‘ngaalamiin’. Di tanah Afrika, bunyinya pun lain. Kalau hendak diadili secara tegas, boleh runtuh agama hanya kerana bunyi huruf berbeza! Sedangkan hakikatnya, mesej dan maknanya tetap sama. Saya pernah tinggal di Beijing, adakalanya saya tak dapat cam surah apa yang dibaca oleh imam solat Jumaat dek kerana pelat lidah kecinaanya. Tapi, takkanlah Tuhan sendiri tak faham dan menghukum mereka dengan dosa, kan?

Kita juga tidak kecoh apabila mengeja ‘solat’ walhal dalam bahasa Arabnya huruf ‘sad’ bukan ‘sim’. Itu belum lagi ejaan zakat kenapa tidak dieja zakah. Malah kita dah lama terima ‘doa’, bukan du’a kerana semua itu telah melalui proses penyesuaian ejaan sejak berpuluh tahun.

Kalau kita sorot sejarah ejaan bahasa Melayu, bukan sekali dua pembaharuan dilakukan. Sistem ejaan berubah daripada Za’ba kepada ejaan Rumi Baharu 1972. Banyak yang diselaraskan demi keseragaman serantau. Kalau generasi sebelum kita boleh menerima perubahan sebesar itu, mengapa kita begitu berat menerima perubahan sekecil satu huruf?

Masalahnya ialah memang kita susah nak perbetulkan apa yang telah kita biasakan sejak lama. Sebab itulah kita pertikaikan sesuatu yang kita anggap baharu walhal sewaktu kita celik mata baru nak hidup, kita telah menerima sesuatu perkara yang generasi sebelumnya telah ubah. Tetapi oleh kerana ia telah lama dipraktikkan, kita tak nampak ia salah. Tambahan pula, media sosial menjadikan setiap orang ‘pakar segera’. Tiba-tiba semua menjadi ahli linguistik, ahli fonetik dan ahli agama serentak. Jarang sekali kita semak dahulu sumber atau memahami rasional di sebalik sesuatu ketetapan.

Hakikatnya, bahasa sentiasa bergerak. Ejaan yang kita anggap muktamad hari ini mungkin disemak semula pada masa depan. Dahulu kita guna ejaan ‘ch’ untuk bunyi ‘c’ – ,’chinta’, ‘chukop’. Mulanya kita keliru ‘chat’ (paint) dieja menjadi ‘cat’ sehingga kita terbaca cat (kucing dalam Bahasa Inggeris). Lama-lama kita boleh terima sehingga menjadi biasa. Siapa tahu 50 tahun akan datang, anak cucu pula ketawa melihat ejaan kita hari ini yang janggal bunyinya.

Yang penting, kita sedar peranan institusi bahasa ialah menyeragamkan, bukan memuaskan semua hati. Tanpa piawaian, buku teks, akhbar dan dokumen rasmi akan jadi huru-hara. Bahasa pasar boleh kita guna dan lenturkan ketika menulis dalam urusan tak rasmi, tetapi bahasa persuratan perlukan disiplin. Itu sahaja yang kita perlu belajar membezakan dan tidak mencampuradukkan.

“Maaf zahir dan batin,” ucap kita bila Hari Raya Aidilfitri sampai pada 1 Syawal nanti. Bagaimana kalau suatu hari nanti DBP umumkan ejaan ‘zahir’ mesti jadi ‘dzahir’ dan ‘batin’ jadi ‘bathin’? Kita hendak lawan atau kita mahu patuh? Atau sebenarnya kita marah kerana berasakan perubahan itu sepatutnya sudah dibuat lama? Ah! Mana-mana pun kita tetap tak akan berpuas hati.

Bagi saya, isu ini sekalipun kecil, ia mengajar kita bahawa; mencintai bahasa bukan bermaksud membekukannya. Bahasa yang hidup pasti berubah. Dan perubahan, walau sekecil satu huruf pun, tetap boleh sahaja kita alu-alukan jika kita sentiasa terbuka untuk terus bergerak ke hadapan. - FMT

 Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.