Anggota trafik terbabit dilanggar dari arah belakang di Jalan Sultan Yahya Petra Jumaat lalu ketika sedang bertugas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata polis sedang melakukan pengesahan lanjut dan berusaha mengesan individu terbabit.
“Sudah dikenal pasti (pemandu), namun pengesahan lanjut masih dijalankan dan dalam proses mengesan,” katanya, menurut Sinar Harian.
Dalam kejadian itu, mangsa, Roslan Salleh, 27, sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan.
Pemandu kenderaan terbabit terus melarikan diri tanpa berhenti untuk memberikan bantuan kepada mangsa.
Zamzuri dilaporkan berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan termasuk luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala selain sakit di bahagian rusuk.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menerima rawatan lanjut.
Beliau berkata siasatan masih diteruskan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta kawasan sekitar bagi membantu mengesan suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.