Tun Faisal Ismail Aziz ulas kritikan Razali Idris mengenai kelantangannya bersuara di media sosial.

Tun Faisal mendakwa, kritikan Razali, yang juga Adun Kijal, mungkin berkait dengan pendiriannya yang sejak kebelakangan ini lantang menegur dan mengkritik tindakan PAS.
“(Beliau) exco kerajaan negeri PAS dan ketika ini saya banyak menegur dan mengkritik PAS atas tindakan-tindakan PAS yang melanggar Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) dan menafikan hak Bersatu sebagai anggota PN,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Razali berkata, jawatan ketua penerangan Bersatu yang disandang Tun Faisal bukan lesen untuk bercakap sebanyak mungkin, apatah lagi ‘menggasak’ semua orang di media sosial.
Beliau berkata, tugas utama penyandang jawatan itu adalah menerangkan dasar, mempertahankan parti, menyatukan pimpinan dan membaca denyut nadi rakyat.
Ketika memegang jawatan itu, katanya, beliau bersama pimpinan, jentera dan rakan-rakan komponen PN berjaya melalui pilihan raya dengan pencapaian 31 Ahli Parlimen dan 66 Adun.
“Itu sejarah. Tetapi sejarah juga mengajar kita satu perkara kerana politik yang matang membina kekuatan, politik yang gelojoh membakar jambatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
“Hari ini, terlalu banyak kenyataan yang pada saya tidak perlu keluar. Tidak semua perkara perlu dijawab. Tidak semua kritikan perlu dilawan dan tidak semua perbezaan pandangan perlu dijadikan perang terbuka di media sosial.”
Beliau menambah, lebih malang apabila kenyataan dibuat tanpa mengambil kira sentimen pimpinan dan akar umbi Bersatu di Pantai Timur.
“Kalau hendak jadi hero media sosial, silakan tetapi jangan sampai parti menjadi mangsa.”
Razali yang baru meletak jawatan sebagai ketua Bersatu Terengganu berkata, keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya sudah cukup menjadi ‘wake-up call’ bagi gerakan parti itu.
Dalam satu mesyuarat Bersatu Terengganu sebelum ini, katanya, ahli jawatankuasa ketika itu sebulat suara mencadangkan supaya ketua penerangan diganti, namun wakil Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang hadir tidak sampai hati membawa cadangan itu kepada pucuk pimpinan.
“Hari ini, saya ulang secara terbuka, kerana diam terlalu lama juga boleh menjadi satu bentuk kesilapan,” katanya.
“Bersatu tidak akan bangkit dengan ketua penerangan yang paling lantang. Jangan kerana mahu menang hujah di media sosial, kita kalah kepercayaan di bawah. Parti bukan pentas untuk ego individu.” - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.