`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 




25 Ogos 2026

Sunday, August 30, 2026

Institusi kuat ukuran sebenar reformasi

 Undang-undang baharu hanya bermakna apabila pelaksanaannya memperkukuh semak dan imbang, meningkatkan akauntabiliti serta membawa perubahan dirasai rakyat.

perdana putra

Agenda reformasi tidak wajar diukur hanya melalui jumlah rang undang-undang yang dibentang atau slogan yang diulang. Ukuran lebih penting ialah sama ada perubahan itu benar-benar mengecilkan ruang salah guna kuasa, memperkukuh semak dan imbang serta kekal berfungsi apabila kerajaan bertukar.

Kerajaan sendiri mengakui sebahagian agenda sudah dilaksanakan, manakala beberapa lagi memerlukan masa kerana melibatkan pindaan undang-undang dan Perlembagaan. Itu realiti yang perlu diterima.

Sebab itu pencapaiannya tidak wajar dilihat secara hitam putih. Ada reformasi yang sudah menjadi undang-undang, ada yang menunggu pelaksanaan dan ada yang memerlukan sokongan dua pertiga Parlimen sebelum dapat dimuktamadkan.

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, antara perubahan paling nyata ialah pindaan Akta Audit 1957. Jabatan Audit Negara merekodkan pindaan itu memperluas kuasa Ketua Audit Negara dan membolehkan 1,856 entiti diaudit selepas pewartaan berkuat kuasa pada 1 Nov 2024.

Perubahan ini penting kerana wang awam tidak hanya bergerak melalui kementerian. Ia turut disalurkan kepada syarikat kerajaan, subsidiari dan entiti yang menerima jaminan kerajaan. Prinsipnya mudah: jika wang rakyat digunakan, akauntabiliti mesti mengikutinya.

Pembaharuan fiskal juga membawa kesan jangka panjang. Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 meletakkan tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan kewangan kerajaan dalam kerangka undang-undang, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang.

Kepentingannya bukan sekadar mengawal angka defisit. Reformasi fiskal yang baik mewajibkan kerajaan menjelaskan keputusan kewangan secara lebih terbuka dan mengurangkan ruang pengurusan kewangan berdasarkan budi bicara politik semata-mata.

Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 pula mengembalikan autonomi institusi legislatif selepas perkhidmatan itu dimansuhkan pada 1992. Langkah itu bertujuan membolehkan Parlimen menentukan dasar dan tadbir urusnya dengan lebih bebas.

Namun kelulusan undang-undang sahaja belum memadai. Reformasi hanya memberi makna apabila peraturan, struktur pentadbiran dan mekanisme pelaksanaannya benar-benar berfungsi.

Ini penting kerana Parlimen tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada cabang eksekutif yang perlu diawasinya. Semak dan imbang hanya bermakna jika institusi yang menyemak kerajaan mempunyai keupayaan pentadbiran dan ruang membuat keputusan sendiri.

Pada peringkat pentadbiran, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) pula memberi tumpuan kepada mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat penyampaian perkhidmatan. Reformasi seperti ini mungkin kurang dramatik, tetapi kesannya boleh dirasai terus rakyat dan perniagaan.

Bagi rakyat, kesannya sepatutnya terlihat pada urusan harian dengan kerajaan. Prosedur lebih ringkas, penyampaian cepat dan kurang kerenah birokrasi bermakna masa menunggu dapat dikurangkan serta perkhidmatan awam menjadi lebih responsif.

Bagi komuniti perniagaan pula, proses kelulusan dan peraturan yang lebih cekap boleh mengurangkan masa serta kos pematuhan, selain memberi lebih kepastian kepada pelabur. Kerajaan sendiri meletakkan penambahbaikan proses kerja dan penghapusan prosedur lapuk sebagai sebahagian usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Penubuhan Majlis Media Malaysia juga menandakan perubahan selepas idea itu dibincangkan sejak 1973. Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan pada Februari 2025 sebelum akta itu diwartakan pada Jun tahun sama.

Namun beberapa agenda besar masih belum selesai. Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun memerlukan pindaan Perlembagaan dan sokongan mencukupi di Parlimen sebelum dapat dimuktamadkan.

Hakikat itu mengingatkan bahawa reformasi Perlembagaan bukan milik kerajaan semata-mata. Ia memerlukan sokongan merentas parti jika mahu bertahan melampaui satu pentadbiran.

Jika semua pihak benar-benar mahu mencegah pemusatan kuasa, mereka perlu bersedia menyokong mekanisme yang turut mengehadkan kuasa mereka sendiri apabila suatu hari berada dalam kerajaan.

Pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga harus diberi perhatian. Kerajaan sedang meneruskan proses perundangan bagi mengasingkan kedua-dua fungsi itu selepas cadangan rang undang-undang berkaitan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Reformasi ini penting kerana keyakinan terhadap sistem pendakwaan bukan sekadar bergantung kepada keputusan yang dibuat. Ia juga bergantung kepada sejauh mana institusi tersebut dilihat bebas daripada kemungkinan konflik kepentingan atau pengaruh politik.

Dalam pendidikan tinggi, kerajaan turut mengumumkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 serta pembangunan kerangka undang-undang baharu. Langkah itu perlu dilakukan cermat supaya kebebasan mahasiswa diperluas tanpa mewujudkan kekosongan dalam tadbir urus universiti.

Akhirnya, reformasi bukan perlumbaan menghasilkan senarai pencapaian. Nilainya terletak pada kemampuan memindahkan kuasa daripada individu kepada institusi, daripada budi bicara kepada peraturan dan daripada janji politik kepada sistem yang boleh bertahan lama.

Ujian sebenar bagi Anwar dan kerajaan Madani bukan sama ada mereka boleh mengatakan reformasi sudah bermula. Ujiannya ialah sama ada perubahan yang dibuat hari ini cukup kukuh untuk membatasi sesiapa sahaja yang memegang kuasa esok. - FMT

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.