Asyraf Wajdi Dusuki berkata jemputan rasmi itu sebagai tanda penghormatan dan membalas undangan PAS kepada pimpinan Umno menghadiri muktamar parti itu.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini.
“Ini sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan Umno untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
PAU2026 dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 Sept.
Sebelum ini, media melaporkan PAS menjemput Presiden Umno Zahid Hamidi serta tiga lagi pemimpin parti itu menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, Kelantan.
Zahid pada 23 Ogos mengesahkan Umno akan menghantar wakil ke muktamar berkenaan.
Namun belum diputuskan wakil Umno yang akan menghadirinya.
Muktamar Tahunan PAS ke-72 dijadual berlangsung dari 2 hingga 5 Sept, dengan acara utamanya dirasmikan Presiden PAS Hadi Awang pada 4 Sept.
Perkembangan itu hadir ketika hubungan Umno dan PAS kembali menjadi perhatian susulan kerjasama politik melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan, awal bulan ini.
Persefahaman itu menyaksikan BN dan PN menguasai 25 daripada 36 kerusi sekali gus membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
Kemenangan itu juga menyaksikan ada cadangan supaya kerjasama berkenaan diperluas sehingga ke PRU16 termasuk terkini pada PRN Melaka yang dijangka sebelum penghujung tahun. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.