Asyraf Wajdi Dusuki berkata prinsip anggapan tidak bersalah mesti dihormati, namun Umno tidak akan mempertahankan salah laku mana-mana ahli atau pemimpinnya.

Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki berkata prinsip kedaulatan undang-undang serta anggapan tidak bersalah mesti sentiasa dihormati, termasuk terhadap individu yang baru ditahan untuk siasatan.
Katanya, tindakan memalukan atau mengaibkan seseorang dengan membentuk persepsi bahawa individu terbabit sudah bersalah sebelum proses mahkamah selesai bertentangan dengan prinsip keadilan.
“Seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang berbidang kuasa,” katanya selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini.
Bagaimanapun, Asyraf berkata pendirian itu tidak bermakna Umno akan mempertahankan salah laku, penyelewengan atau penyimpangan dilakukan mana-mana pihak, termasuk ahli dan pemimpin parti.
Katanya, sesiapa yang melakukan kesalahan tetap perlu dihadapkan ke muka pengadilan menerusi proses undang-undang.
Kenyataan beliau itu menyusul ketika ada pemimpin Umno berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan isu salah urus Lembaga Tabung Haji.
Selain itu, pendakwaan bekas naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal mematuhi terma notis pengisytiharan harta daripada agensi antirasuah itu.
Bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit.
Rundingan kerjasama pilihan raya
Dalam perkembangan lain, Asyraf berkata MKT turut mengambil maklum pelbagai kajian empirikal mengenai sentimen rakyat, khususnya orang Melayu, yang menurutnya mahukan penyatuan ummah direalisasikan.
Katanya, kajian oleh pelbagai agensi, penyelidik dan ahli akademik itu turut menunjukkan kepentingan Melayu dilihat sebagai antara teras kestabilan politik negara.
Sehubungan itu, MKT bersetuju membenarkan kepimpinan Umno negeri mengadakan perbincangan dan rundingan dengan parti politik yang mahu bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.
Asyraf berkata sebarang rundingan bagi menjalin kerjasama pilihan raya mesti berasaskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.