Faiz Fadzil berkata, PH perlu belajar daripada kekalahan di Johor dan Negeri Sembilan dengan memastikan jenteranya bersedia lebih awal.

Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata, persediaan awal penting supaya kelemahan jentera, yang menurutnya antara faktor kekalahan PH pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, tidak berulang.
Katanya, keputusan sama ada PH akan bekerjasama dengan parti lain atau bertanding sendiri belum dimuktamadkan Majlis Presiden PH.
“Walau apa pun strategi yang hendak dirancang, jentera PH harus bersedia dari sekarang,” katanya kepada FMT.
“Antara punca kekalahan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan adalah kelemahan jentera PH. Perkara ini sedang ditambah baik oleh kepimpinan PH.”
Faiz berkata, Amanah juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pertandingan membabitkan BN dan Perikatan Nasional (PN), sekiranya itu keputusan yang dibuat.
Beliau mengulas hala tuju PH di Melaka ketika hubungan politik Umno dan PAS kembali menjadi perhatian susulan keputusan Umno menjemput kepimpinan tertinggi PAS menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 bulan depan.
Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jemputan itu sebagai membalas undangan PAS kepada pemimpin Umno untuk menghadiri muktamarnya.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai bentuk kerjasama yang mungkin diwujudkan menjelang PRN Melaka, ketika BN sebelum ini menyatakan kesediaan berunding dengan semua pihak.
Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari berkata, beliau menunggu kesediaan Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh untuk memulakan rundingan rasmi mengenai hala tuju kerjasama politik di negeri itu.
Namun ketua menteri Melaka itu memaklumkan mahu menunggu keputusan dasar daripada kepimpinan tertinggi Umno dan BN pusat terlebih dahulu, sebelum memulakan perbincangan lanjut.
BN kini mempunyai 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala PH memegang lima kerusi dan dua oleh PN. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.