`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 31, 2017

KE ARAH POLITK MALAYSIA YANG MATANG (SIRI 2): ANTRA TRANSFORMASI POLITIK DAN BPMS?

DARI SUDUT LAIN
Sebagaimana yang telah dinyatakan pada siri lepas, kajian yang dibuat oleh Ilham Center pada tahun 2015 menunjukkan bahawa tahap kepedulian politik di kalangan golongan muda merosot dengan begitu kritikal. Pengundi muda secara keseluruhannya mengalami kekecewaan yang sangat ketara terhadap kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
Perkara ini bukanlah sesuatu yang normal sebagai manusia dan tidak baik untuk masa depan negara. Sebagaimana yang disebut tokoh pemikir Agung Aristotle dalam tulisannya berjudul Politics, beliau menyifatkan manusia sebagai Zoon Politicon yang bermaksud haiwan politik. Beliau menjelaskan manusia secara semulajadi adalah satu makhluk yang amat bergantung kepada politik untuk melangsungkan kehidupan mereka. Justeru kemerosotan minat generasi muda negara kita terhadap politik bakal menatijahkan sesuatu yang buruk buat masa hadapan.
Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri telah memperkenalkan Transformasi Politik mengikut pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Antara transformasi politik yang telah dilakukan oleh kerajaan adalah dengan memansuhkan beberapa undang-undang yang menyekat kebebasan berpolitik rakyat. Antaranya dengan menamatkan ordinan darurat, menghapuskan akta keselamatan dalam negeri yang membenarkan penahanan tanpa bicara, memansuhkan lesen kawalan penerbitan akhbar dan sedang mengkaji berkaitan Akta Hasutan.
Walaubagaimanapun, langkah yang kini diambil kerajaan kebanyakannya berkaitan dengan undang-undang sahaja. Apa yang lebih penting dalam memu[uk kembali minat golongan muda terhadap politik adalah mengenai budaya politik itu sendiri. Untuk mengubahnya, tidak cukup dengan peranan yang dimainkan oleh kerajaan sahaja kerana institusi politik negara ini melibatkan keseluruhan parti politik, NGO-NGO, kumpulan pendesak dan tokoh-tokoh perseorangan. Kesemua komponen politik Malaysia ini perlu sama-sama mendukung usaha membawa budaya politik negara ke arah yang lebih matang.
Pihak yang dilihat bersungguh dalam membawa budaya politik baharu bagi Malaysia adalah parti PAS. Presiden PAS bermula ucapan dasar muktamar tahun 2015 telah memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Ia kemudiannya terus dipopularkan oleh pemimpin PAS yang lain. Keseriusan Pas boleh dilihat apabila mereka membangunkan satu laman web khusus mengenai BPMS.
BPMS menampilkan tujuh kriteria iaitu:
1. Politik bertunjangkan prinsip
2. Politik dakwah dan Amar Maaruf Nahi Mungkar
3. Politik penyelesaian berasaskan Islam
4. Politik utamakan rakyat
5. Politik damai dan diplomasi
6. Politik kebenaran bukan persepsi
7. Politik rasional dan profesional
Sejak daripada BPMS diperkenalkan, pendekatan PAS di arena politik negara benar-benar sudah berubah. Pertama setelah Pakatan Rakyat dibubarkan, PAS mengambil keputusan untuk tidak bersama dalam blok baru pembangkang yang dinamakan sebagai Pakatan Harapan. PAS juga masih tidak bersama blok pemerintah Barisan Nasional. Sebaliknya PAS mencipta dimensi baru politik tanahair dengan menubuhkan Blok politik ketiga yang kemudiannya dinamakan sebagai Gagasan Sejahtera (GAGASAN)
GAGASAN dianggotai oleh PAS dan Ikatan, manakala Berjasa dan terbaru Parti Cinta Malaysia (PCM) bakal menyertai blok tersebut. Selain itu, GAGASAN dianggotai oleh ratusan NGO-NGO dan tokoh perseorangan. Penubuhan GAGASAN telah meletakkan negara kepada situasi politik baharu. Sebelum ini Malaysia lebih terkenal dengan sistem dwi parti secara praktikal walaupun memiliki berbagai parti politik. Tetapi kewujudan GAGASAN benar-benar meletakkan negara kepada situasi multi-parti.
PAS terus mengejutkan arena politik apabila menyatakan bersedia menasihat kerajaan. Selama ini budaya politik negara memberi faham bahawa pemerintah adalah musuh pembangkang. Sebarang usaha membantu pemerintah dari pihak pembangkang adalah sesuatu tindakan yang salah dan merugikan. Mungkin kerana ini, Pakatan Harapan secara khususnya telah memainkan isu PAS mahu bergabung dengan Umno. Tetapi sehingga kini, masih belum berlaku apa yang didakwa.
Hubungan antara PAS sebagai sebuah parti dan kerajaan Malaysia menjadi semakin baik sejak kebelakangan ini. Sudah banyak usaha sama yang diadakan sehingga membawa kejayaan. Antaranya adalah berhubung RUU355. PAS telah berunding dengan beberapa pihak kerajaan seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal ehwal Agama dan Menteri Hal Ehwal Parlimen, serta Speaker Dewan Rakyat. PAS juga telah berhubung dengan jentera kerajaan bagi menjayakan misi Food Flotilla For Myanmar sehingga direkodkan sebagai misi kemanusiaan terbesar dalam sejarah negara. Pemimpin PAS juga dipilih menganggotai Majlis Perundingan Islam di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri.
Perkembangan di atas membawa Malaysia ke arah senario politik yang baharu. Sejauh mana perubahan ini memberi keuntungan buat negara? Masih terlalu awal untuk menilai. Tetapi apa yang menarik, pertambahan keahlian PAS berlaku dengan begitu tinggi. Setiap bulan Setiausaha Agung PAS mengumumkan ribuan jumlah keahlian baru yang yang diluluskan menjadikan purata keahlian adalah kira-kira 4000 orang sebulan. Kebanyakan mereka adalah dari golongan muda. Ini menunjukkan golongan tersebut begitu positif terhadap pendekatan terbaharu PAS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.