`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 2, 2018

Lebih 200 gambar tragedi kebakaran Tahfiz Ittifaqiyah didedah di mahkamah

Ia adalah gambar di lokasi kejadian di pusat tahfiz yang terbakar dan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HKL.
Sebanyak 102 gambar dari pintu masuk bangunan pusat tahfiz sehingga tingkat atas serta 100 keping gambar proses bedah siasat mayat mangsa. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR: Sebanyak 202 keping gambar berhubung tragedi kebakaran menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa tahun lalu dikemukakan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Gambar tersebut dirakamkan Pegawai Bomba Bahagian Penyiasatan Kebakaran Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Nurul Adha Abdul Majid, 32 dan Jurufoto Cawangan Fotografi D6, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Koperal Mohd Zukri Ismail, 54.
Ia merupakan gambar di lokasi kejadian di pusat tahfiz yang terbakar dan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang semuanya dirakamkan pada hari kejadian, 14 September 2017.
“Pada hari kejadian saya ditugaskan sebagai jurugambar untuk mengambil dan sebanyak 102 keping dirakam,” kata Mohd Nurul Adha, saksi pendakwaan ke-6, ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada hari ke-3 prosiding kes itu.
Mohd Zukri yang merupakan saksi pendakwaan ke-7 pula ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Abdul Aziz memberitahu dia merakam 100 keping gambar proses bedah siasat mayat mangsa terlibat yang bermula dari 11 pagi sehingga 7 malam di HKL.
Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017.
Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.15 pagi, 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan 2 warden maut selepas terperangkap di tingkat 3 asrama pusat tahfiz itu yang terbakar.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.