`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, February 11, 2020

Gagasan Pakatan Nasional jejaskan mandat rakyat



Pada minggu lalu, media politik negara disibukkan dengan apa yang dinamakan Pakatan Nasional, suatu usaha untuk penyusunan semula kuasa politik negara supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) digantikan dengan kumpulan lain walaupun dipimpin oleh ketua kerajaan dari parti serupa.
Pakatan Nasional mengambil sebahagian daripada parti PH untuk digabungkan dengan Barisan Nasional, PAS dan parti-parti Sarawak dan Sabah tertentu.
Perkataan Pakatan Nasional adalah gabungan daripada PH dan BN, tetapi ia bukanlah gabungan kedua-duanya. Sebaliknya gagasan Pakatan Nasional itu adalah pemecahan PH.
Dalam gagasan itu, Pakatan Nasional itu tetap diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad dan disertai oleh partinya PPBM, sebahagian PKR, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan. Maka tinggallah PH diketuai Anwar Ibrahim dengan sebahagian PKR, DAP dan Amanah.
Tetapi rupa- rupanya idea itu datang daripada PAS dan tiada undangan daripada Mahathir kepada parti itu dan UMNO. GPS pula menolak gagasan itu. Tanpa parti Sarawak itu, Pakatan Nasional tidak cukup kerusi untuk menyingkirkan PH.
Segala cadangan itu dinamakan langkah menubuhkan kerajaan melalui “pintu belakang.” Kalau “pintu depan,” ia bermaksud menubuhkan kerajaan melalui pilihan raya umum. Tetapi jika menubuhkan kerajaan di tengah-tengah penggal pentadbiran melalui penyusunan semula politik, maka ia adalah proses “pintu belakang.”
Proses ini masih menepati undang-undang, tetapi ia tidak akur pada mandat rakyat dalam semangat demokrasi. Maka gagasan Pakatan Nasional melanggar mandat rakyat dan suatu bangkangan terhadap semangat demokrasi.
Apakah mandat rakyat? Ia adalah pilihan majoriti pengundi dalam pilihan raya umum melalui kawasan masing-masing mengikut sistem yang diamalkan.
Maknanya, pada PRU ke-14, majoriti pengundi melalui kiraan kawasan masing-masing telah memilih PH yang diketuai oleh Mahathir dengan janji bahawa beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar semasa tempoh sepenggal 5 tahun. Inilah semangat demokrasi melalui sistem demokrasi.
Satu penggal yang ditetapkan sebagai 5 tahun itu wajar dimanfaatkan oleh kerajaan sepenuhnya untuk melaksanakan janji manifesto yang dikeluarkan semasa kempen pilihan raya.
Jika tempoh itu adalah lebih pendek, maka sudah tentu janji-janji itu tidak cukup masa untuk ditunaikan. Pelaksanaan janji-janji itu juga menepati semangat demokrasi. Soal sama ada janji itu dapat dilaksanakan atau tidak, atas pelbagai sebab, adalah perkara lain.
Maka bagi menjayakan sistem ini, pihak pembangkang pula wajar berperanan juga menurut semangat demokrasi. Adalah tugas mereka untuk membangkang, tetapi itu tidak termasuk berusaha menumbangkan kerajaan sedia ada secara berpolitik, walaupun ia mematuhi undang-undang.
Berusaha untuk menjatuhkan kerajaan secara politik jika tidak ada keperluan mendesak pasti mengganggu kerajaan dalam melaksanakan janji-janji pilihan raya yang merupakan proses memenuhi mandat rakyat.
Maka gagasan Pakatan Nasional hanya mengganggu perjalanan pentadbiran. Ia tiada faedah untuk rakyat. Ini kerana PH bukanlah berada dalam keadaan teruk hingga perlu perubahan kerajaan.
Perjalanan kerajaan berada dalam keadaan lancar dan manifesto pilihan raya, secara langkah demi langkah sedang dicapai. Tidak ada sebab pada ketika ini kerajaan perlu ditumbangkan untuk digantikan dengan yang baru.
Sistem demokrasi membenarkan penubuhan parti-parti politik dan pakatannya. Tetapi penubuhan itu adalah wajar dibuat ketika hampir pada pilihan raya umum bagi penyusunan semula kuasa-kuasa parti tanpa menjejaskan mandat rakyat.
Adalah jelas mandat rakyat adalah untuk PH bagi tempoh satu penggal iaitu 5 tahun dari 2018 hingga sekitar 2030, walaupun Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa.
Maka harapan rakyat adalah kerajaan PH mentadbir selama satu penggal dan menunaikan janji manifesto. Apabila hendak menyusun semula kuasa politik, biarlah ia berlaku menjelang PRU akan datang. Buat masa ini, baru pertengahan penggal, ia adalah waktu yang masih awal.
Tumpuan harus pada pentadbiran dan pembangunan, bukan saja bagi kerajaan yang melaksanakannya, tetapi juga pembangkang yang perlu berperanan secara jujur.
Pertengahan penggal bukan masa untuk berpolitik secara keterlaluan hinggakan tumpuan terganggu.
Sememangnya PH sendiri ditubuhkan pada tahun 2015, iaitu pertenggahan penggal selepas PRU ke-13 pada tahun 2013. PH ditubuhkan menggantikan Pakatan Rakyat akibat tindakan PAS menolak DAP.
Tetapi penubuhan PH tidak menjejaskan kerajaan persekutuan, malah ia juga tidak menjatuhkan kerajaan PR di peringkat negeri Pulau Pinang dan Selangor.
Kerajaan PR di Pulau Pinang bertukar kepada PH. Sementara kerajaan PR Selangor terus bertahan walaupun pakatan sudah terbubar. Ini kerana mandat rakyat yang diperoleh oleh kerajaan PR Selangor adalah untuk pakatan PKR-DAP-PAS bagi satu penggal penuh.
Apabila salah satu parti keluar, maka ia merupakan pelanggaran mandat rakyat.
Bagi ahli poitik, mereka mungkin tidak mempedulikan mandat rakyat. Ia hanya dianggap satu konsep idealistik. Begitu juga, sebahagian rakyat juga tidak menghiraukan mandat rakyat. Mereka hanya mengundi atas sesuatu sebab dan sokongan mereka mungkin berubah sepanjang penggal itu.
Konsep mandat rakyat itu tidak dihargai. Tetapi sebahagian orang melihat konsep mandat rakyat itu adalah sesuatu yang sakral dan perlu dihormati oleh ahli politik.
Umpamanya dalam PRU-14, mandat rakyat adalah untuk PH dalam satu pakej, iaitu 4 parti PPBM, PKR, DAP, Amanah dan sekutu mereka Warisan. Pakej itu meliputi Mahathir sebagai perdana menteri dengan Anwar merupakan bakal penggantinya.
Para pengundi tentunya pelbagai, Ada yang mengundi bukan kerana sokong PH tetapi disebabkan menolak BN, malah ada yang hanya kerana menyokong Mahathir.
Ataupun ada yang mengundi PH kerana penggantinya kelak ialah Anwar. Ada juga mengundi PH kerana hanya menyokong salah satu parti. Tetapi keragaman sebab itu tertakluk pada konsep bahawa mandat rakyat pada tahun 2018 adalah untuk PH sebagai satu pakej termasuk manifestonya. Pakej ini meliputi jangka waktu penuh bagi satu penggal.
Dalam sejarah politik Malaysia sememangnya pernah berlaku perubahan kerajaan di tengah tengah penggal, tetapi ia berlaku di peringkat negeri. Tidak pernah di peringkat persekutuan. Ia pernah berlaku di Perak, Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.
Tumbangnya kerajaan-kerajaan negeri yang didalangi dari pusat, khususnya Perikatan dan BN, dari tahun 1959 apabila kerajaan PAS gagal ditubuhkan di Terengganu hinggalah pada Perak pada tahun 2009.
Mandat rakyat dalam pilihan raya negeri Terengganu pada tahun 1959 adalah untuk kerajaan PAS. Begitu juga dengan mandat rakyat Perak untuk kerajaan PR pada tahun 2009. Tentulah rakyat berharap supaya PR dapat mentadbir secara penuh satu penggal.
Maka tumbangnya kerajaan-kerajaan negeri walaupun ia menepati undang-undang dan perlembagaan, tetapi ia melanggar mandat rakyat.
Sememangnya dalam jangka masa 5 tahun, banyak perkembangan politik berlaku dengan suasana berubah. Pengundi boleh berubah fikiran. Begitu juga dengan ahli politik.
Tetapi konsep mandat rakyat dalam kerangka semangat demokrasi tetap jelas dari segi tempoh penggal pentadbiran. Sistem dan peraturan boleh berubah menurut penggubal undang-undang, tetapi konsep mandat rakyat kekal dan dalam sistem demokrasi, ia adalah sakral. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.