Hujung minggu lepas, tatkala sarkas baru bermula di Sheraton, sama seperti awak yang sedang dilanda kebingungan; saya menghantar beberapa teks mesej kepada beberapa tokoh. Seperti awak juga, saya hanya mahu memahami apa yang berlaku. Salah satu mesej saya dijawab lambat-lambat oleh salah seorang “bekas” menteri kerajaan persekutuan yang berada di sana. Beliau menjelaskan dengan ringkas; “Malay powerbase first”. Saya melatah, entah kenapa berbunyi; O Sasterawan Negara 5 Ribu.
Jawapan itu membuatkan saya terlongo. “Kuasa Melayu?”. Sasterawan Negara 5 Ribu.
Akan tetapi saya masih perlu menghimpun seberapa banyak maklumat sebelum melakukan satu kesimpulan. Saya berpegang seniman tidak harus terlihat tidak kisah, dalam sejarah, jika ada sebarang langkah yang salah. Saya harus bersikap di tengah Sasterawan Negara 5 Ribu.
Kuasa Melayu. Itulah kata kuncinya. Melayu harus berkumpul (konon) untuk merebut kuasa Melayu yang sedang terhakis. Tidak apalah Melayu yang akan dihimpun bersama-sama itu pontianak penghisap darah, toyol kebas duit, jembalang berkesiuran, atau saka atas tengkuk. Asalkan Melayu. Sasterawan Negara 5 Ribu.
Maka, seperti orang lain; sarkas di Sheraton itu perlahan-lahan kelihatan menjadi persisnya taman haiwan (istilah Indonesia; kebun binatang). Ini kerana seekor demi seekor hantu muncul dan disorakkan. Pun saya masih bingung. Apa sebab Sasterawan Negara 5 Ribu.
Orang selalu bilang Melayu tidak mahu menerima perubahan. Saya betulkan, bukan “tidak mahu”; tetapi orang Melayu “lambat” menerima perubahan. Apabila wartawan Amy Chew dari South China Morning Post menelefon bertanyakan kepada saya mengapa kerajaan Pakatan Harapan sampai jatuh? Saya berikan beliau 5 sebab. Yang satu saya simpan dalam benak. Sasterawan Negara 5 Ribu.
Pertama, kerana salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan; DAP, saya lihat enggan, atau mungkin tidak peduli untuk belajar psyche Melayu. Lihat sahaja keengganan segelintir pemimpin mereka memahami apa yang sensitif mengenai Melayu. Lihat sahaja kenyataan akhbar dalam bahasa Mandarin yang menyebabkan sesetengah Melayu sesak nafas terkorona. Lihat sahaja bagaimana isu tulisan Jawi ditangani. Ini semua modal untuk ultra Melayu. Modal.
Ini semua modal untuk Melayu hantu yang melayang-layang di ruang udara Sheraton minggu lalu. DAP tidak belajar mengerti Melayu lambat menerima perubahan. Belajar psyche Melayu tidak cukup dengan Sasterawan Negara 5 Ribu.
Kedua, terdapat belah menanti retak dalam PPBM. Dahulu ia tidak kelihatan. Tetapi untuk pengamat yang cekatan akan terlihat retak itu dari dahulu. Lihat sahaja bagaimana isu-isu di Johor ditangani sejak 22 bulan lalu. Ada 2 pendekatan. Iaitu pendekatan ala Muhyiddin dan pendekatan ala Tun Mahathir. Jadi, Melayu itu memang sukanya bersengketa. Sejak menjadi-jadi Arab, Melayu lagi-lagi suka bertelingkah. Kalau tidak dapat bertonyeh sehari Melayu rasa tidak sedap. Pagi membawang. Petang mengunyit. Melayu tidak rasa bersalah.
Prinsip Melayu, bila kelahi baru datang berahi. Jadi ahli politik awak di Pakatan Harapan tidak membetulkan yang retak. Tiada usaha bertaut. Jadi PH memang melihat sahaja. Bila sedemikian lalai dibiar, maka tinggal datang satu cuai atau gopoh sahaja sudah memadai untuk menghancurkan keadaan. Gopoh ala PPBM. Tetapi Melayu itu enggan fahami, karya Keris Mas misalnya tidak dikupas dengan teliti. Cuba baca Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Sayang beliau tak sempat merasa Sasterawan Negara 5 Ribu.
Ketiga, ada satu fiil Melayu tidak reti sabar. Lagi disuruh bersabar lagi dia mendesak. Kadang-kala kaki menghentak. Macam budak. Itu memang tipikal Melayu. Perangai tidak sabar ini kadang kala bagus kerana boleh membantu kerja yang lambat menjadi cepat. Tetapi ada satu pesen tidak sabar akan menjadikan hal kucar-kacir. Kita lihat kalau ketua kendarat tidak bersabar, kenduri kahwin akan jadi lorat. Ada-ada saja lauk terjerang dilompati katak, atau nasi terbiar mentah, bahan menumis suntuk, masa menjadi genting dan hadirin datang terlebih.
Begitulah nahas kalau Melayu tidak reti bersabar. Kalau kenduri ada tukang sorak ala-ala otai, maka lebih bahana untuk jadi kelam-kabut. Ini ada pada Anwar dan kaumnya. Kaum Anwar ini tidak reti bersabar. Kalaulah Anwar yang suka membaca itu memahami Melayu. Saya ingat karya Cikgu Shahnon yang arwah dedikasikan untuk beliau, Dongeng Hujan dan Kuda; juga Sutan Baginda. Bicara tentang mereka. Tetapi arghh Sasterawan Negara 5 Ribu.
Keempat, yang mesti dijadikan sempadan ialah Melayu hantu jembalang. Melayu yang sanggup bersekongkol dengan jahat bandit, singkat badut, gelojoh badak, akal bantut . Gerombolan Melayu yang ke Sheraton minggu lalu. Melayu yang kita patut tanya “apa lagi Melayu mahu?”. Yang konon berkumpul merebut kuasa Melayu yang sedang terhakis.
Melayu tidak membaca. Tidak apalah, asalkan Melayu. Meskipun yang bersama-sama berjemaah itu pontianak penghisap darah, toyol kebas duit, jembalang berkesiuran, atau saka atas tengkuk. Asalkan Melayu. Ini Melayu tak membaca. Tidak peduli. Perangai hantu ini tidak terhad ada pada penyangak. Juga ada pada lebai. Kadang lebai itu juga penyangak. Kalau awak membaca Salina, dan Ke manakah Terbangnya oleh A Samad Said, awak akan faham. Sasterawan Negara 5 Ribu.
Kelima, dalam 22 bulan, Amanah menjadi wajah Islam Pakatan Harapan. Betullah Dzulkefly Ahmad dari Amanah seorang menteri kesihatan yang baik. Betullah Adly Zahari dari Amanah seorang ketua menteri Melaka yang baik. Akan tetapi Melayu itu Islam. Islam itu Melayu. Sejak mereka menganut agama itu tanpa mengerti di pantai Melaka di era Raja Kecil Besar, Melayu (konon) pantang kalau Islam dipermainkan.
Jadi orang nilai Islam Pakatan Harapan atas Mujahid. Meskipun Islam yang ingin ditegaskan Mujahid itu rahmat seluruh alam, ramai lebai tetap tidak suka. Lebai kalau boleh, mereka hanya mahu rahmat Islam itu bertimpaan atas serban, melorot jatuh atas kusyen kerusi kulit di bahagian pantat Mercedes. Yang satu lagi kaum, tak reti bahasa, mereka sangka Liberal sudah berkuasa. Jadi mereka mahu semua diliberal mengikut kehendak maju tafsiran mereka. Pun, puisi sufi Kemala, sajak puja Nabi karya Zurinah tak dapat menampung cabaran politik hari ini. Ada Sasterawan Negara peduli? Sasterawan Negara 5 Ribu.
Jadi, kelima-lima argumen di atas, yang saya sampaikan kepada Amy Chew dari South China Morning Post; dari lima, beliau sekadar terbitkan tiga sahaja sebab yang saya berikan. Kita semua mengerti ini semua pelajaran untuk semua orang. DAP mesti belajar. PPBM sudah dapat pelajaran. Kedua-dua kaum dalam PKR sudah belajar (harapnya lah). Dan Amanah, wajah Islam yang patut sederhana tetapi sudah tergusur sehingga yang konservatif tidak faham, yang liberal juga tidak faham. Kalaulah Mujahid boleh mengucap dan baca Ruang Perjalanan oleh S Othman Kelantan. Arwah tidak sempat mengecap. Sasterawan Negara 5 Ribu.
Apa yang kita kesalkan ialah negara terjunam dalam krisis politik minggu ini sehingga rugi berbilion kerana segelintir politikus enggan belajar. Enggan insaf tujuan sebenarnya mereka, iaitu berkhidmat untuk nusa bangsa. Melayu pula terus dibakar momokan DAP akan merampas kuasa. Naratif yang mereka bina sendiri negara huru-hara di tangan Cina.
Kita boleh kerjakan kalau Melayu duduk dalam hutan berfikir begitu. Melayu ini kita boleh bagi pelajaran. Inilah kerja seniman macam saya. Tulis karya sastera untuk menyembuhkan. Tetapi, saya benar-benar tidak tahu apa lagi ubat untuk “Melayu Sheraton” yang cinta dan terasa ghairah ingin berjimak dengan perompak, penyamun, penipu dan perembat harta anak yatim, wang rakyat dan penggubah wang haram. Apa ubatnya Melayu masochistic yang celapak dicium buntutnya oleh penjahat seperti ini? Tiadalah mereka faham nilai sejagat, seperti yang disuguhkan Usman Awang dalam Tulang-tulang Berselerakan. Padahal Sasterawan Negara 5 Ribu.
Di awal tadi saya menyatakan Melayu lambat menerima perubahan. Bagaimana caranya untuk mempercepatkan Melayu menerima perubahan? Jawapannya bila kita melihat Raja Kecil Besar memeluk Islam di pantai Melaka. Raja buat, Melayu ikut. Melayu zaman Melaka itu tidak langsung mempertikaikan. Padahal mereka tidak tahu apa itu Islam. Mereka misalnya belum belajar akidah (usuluddin), apatah lagi akhlak (Tun Mutahir malah dibunuh seisi famili) tetapi asalkan Raja menerima Islam. Mereka pun terima. Jadi itu caranya Melayu menerima perubahan. Sasterawan Negara 5 Ribu.
Hari ini awak sebagai Melayu hidup dalam zaman yang paling menarik untuk umat Melayu. Ia mungkin hanya berlaku 600 tahun sekali. Iaitu Melayu diperintah oleh seorang Raja yang budiman, bersama dengan seorang Bendahara (atau PM) yang bijaksana dan kuat bekerja. Tetapi sayang, negara ini tidak disayangi oleh Melayu sendiri. Kalau mereka dapat mencarikkan negara ini seperti helaian kertas kusam dari novel lama yang sudah buruk, “Melayu Sheraton” akan lakukan. “Melayu Sheraton” pasti lakukan. Sebab, Sasterawan Negara 5 Ribu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.