KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin tertinggi PPBM kelihatan memasuki kediaman Dr Mahathir Mohamad di The Mines Residence sejak 8 pagi tadi dipercayai bagi memujuk perdana menteri interim itu kembali menjadi pengerusi PPBM.
Presiden PPBM Muhyiddin Yassin tiba di kediaman Mahathir sekitar jam 8.05 pagi, diikuti Timbalan Presidennya Mukhriz Mahathir pada jam 8.10 pagi dan Ketua Wanita PPBM Rina Harun pada jam 8.20 pagi. Muhyiddin beredar pada jam 9.36 pagi.
Mahathir kemudian dilihat meninggalkan kediamannya pada jam 9.15 pagi ke lokasi yang tidak diketahui, dipercayai ke Putrajaya.
Semalam, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MT) PPBM memutuskan untuk menolak langkah Mahathir melepaskan jawatan sebagai pengerusi parti dan perdana menteri, kata setiausaha agungnya, Marzuki Yahya.
Sementara itu ahli Majlis Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pimpinan tertinggi parti akan berkunjung ke kediaman Mahathir esok bagi menyakinkan beliau supaya kembali mentadbir negara, namun tidak mendedahkan waktu pertemuan itu akan berlangsung.
Mahathir semalam meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM berkuat kuasa serta merta selepas menghantar surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri beberapa jam sebelum itu.
Hampir serentak dengan itu presiden PPBM Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar daripada PH.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong menerima peletakan jawatan Mahathir, beliau kemudian dilantik sebagai perdana menteri interim sehingga perdana menteri dilantik dan kerajaan baru ditubuhkan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.