PAS hari ini mengemukakan hujah bagi membuktikan parti itu tidak menyokong BN atau Najib Razak menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu seperti didakwa Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, malah berkata parti itu cuba bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dengan mengadakan rundingan bersama Bersatu, khususnya melalui presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, dan timbalannya, Mukhriz Mahathir.
Bagaimanapun kata ahli parlimen Kota Bharu itu, cubaan tersebut gagal.
Menurut Takiyuddin, PAS tidak bekerjasama dan tidak berkompromi dengan BN pada PRU14 lalu.
Sebagai bukti, Takiyuddin menjelaskan, PAS bertanding bersendirian di 150 kerusi parlimen untuk menentang BN dan PH sekali gus sehingga mewujudkan pertandingan tiga penjuru.
Keadaan itulah, katanya, membolehkan PH menguasai kerajaan pusat dan ia boleh dianggap mustahil berlaku jika PAS menyokong atau bekerjasama dengan BN.
"PAS cuba bekerjasama dan mengadakan rundingan dengan Bersatu. Namun, tidak terlaksana kerana syarat PAS supaya kerjasama tidak boleh membabitkan DAP tidak dapat dipenuhi oleh Bersatu," katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Baca 'Jika sayang Dr M, jangan undi dia'
Takiyuddin berkata demikian sebagai mengulas isu PAS yang didakwa Saifuddin hanya menyokong Mahathir selepas BN dan Najib kecundang dalam PRU pada 2018.
Sebagai rekod sebelum PRU14 lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menolak cadangan PH untuk mengangkat Mahathir selaku calon perdana menteri pembangkang pada ketika mereka cuba mengetepikan dominasi BN sejak merdeka.
Isu berkenaan timbul mengiringi tularnya gambar menunjukkan Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Mahathir, serta khabar angin mengenai persefahaman politik dicapai di antara PAS dan Bersatu.
Takiyuddin berkata kesanggupan PAS menerima kepemimpinan Mahathir bukan hanya selepas PRU14.
"Kini PAS terus menyatakan dan bersedia membantu Mahathir memimpin negara memandangkan kemampuan beliau menjamin kedudukan Islam dan Melayu, walaupun mengambil kira kepentingan dan hak semua kaum lain," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.