latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Agensi yang membawa ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Nur Sajat mengerjakan umrah, mengesahkan ahli perniagaan itu sudah dibawa keluar dari Tanah Suci.
Ia susulan kontroversi usahawan kosmetik itu mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular di media sosial.
Jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan terbabit selepas ia menjadi kontroversi dan mendapat perhatian banyak pihak.
“Kami sudah meminta mutawwif membawa keluar rombongan Nur Sajat seramai 10 orang (termasuk mutawwif) keluar dari Makkah.
“Mereka dibawa untuk sesi lawatan di sekitar Madinah.
“Setakat ini, sukar untuk mendapat kerjasama Nur Sajat, sebaliknya perbincangan lebih banyaj menerusi pembantu peribadinya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Albayt Travel turut meminta Nur Sajat membuat permohonan maaf secara terbuka khususnya kepada umat Islam di tanah air, susulan kekecohan dan kecaman terhadap video yang dimuat naiknya ke media sosial, baru-baru ini.
“Setakat ini, Nur Sajat hanya menjawab meminta tunggu sehingga dia kembali ke tanah air.
“Pihak kami terutama mutawwif cuba berhubung dengan ibu bapanya, kerana hanya keluarga terdekat yang mengetahui status jantinanya.
“Bagaimanapun, ibu bapa Nur Sajat juga agak sukar diajak berbincang,” katanya.
Jurucakap Albayt Travel turut memaklumkan, dakwaan kononnya Nur Sajat ditangkap polis Arab Saudi belum disahkan kedutaan di sana.
Petang ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu jantina usahawan berkenaan. - nst
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.