KUALA LUMPUR: Sebanyak 88% atau 1,648 daripada 1,873 responden undian dalam talian yang dijalankan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memilih untuk mengambil moratorium atau penangguhan bayaran balik kewangan yang diperkenalkan Bank Negara.
Ketua Unit Pembangunan Modul Jabatan Pendidikan Kewangan AKPK, Nirmala Supramaniam berkata tinjauan susulan ke atas 788 responden yang mengambil moratorium, mendapati 48% atau 378 responden mahu mewujudkan simpanan waktu kecemasan.
“Ada juga yang mengambil moratorium ini untuk menggunakan duit tersebut membeli keperluan harian 21% (165), pelaburan 16% (126), membuat pinjaman yang lebih rendah 11% (87) dan 4% (32) tiada perancangan.
“Bagaimanapun undian ini tidak mengambarkan keseluruhan situasi sebenar kerana ia hanya undian secara rawak yang dilakukan dalam talian melalui Faceboook AKPK dan microsite AKPK, #askAKP dari April hingga Mei lepas,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara, terbitan Bernama TV semalam.
Dalam pada itu, Nirmala berkata kajian AKPK turut mendapati tahap tekanan kewangan meningkat sebanyak 35% dalam kalangan golongan yang bekerja dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Perkara itu berlaku kerana PKP dan pandemik Covid-19 situasi yang berlaku di luar jangkaan dan ramai yang tidak bersedia dari segi simpanan wang untuk kecemasan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.