`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 27, 2022

Adam dijangka tanding di Hang Tuah Jaya, menurut sumber PKR

 

Sebelum ini, khabar angin mengatakan Adam Adli akan bertanding di kerusi Parlimen Nibong Tebal.

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli dijangka akan bertanding di kerusi Hang Tuah Jaya, Melaka menurut sumber dalaman PKR.

Sumber yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa AMK, mengesahkan perkembangan terbaru ini kepada pihak FMT semalam.

“Benar, Adam akan ke Hang Tuah Jaya,” kata sumber tersebut ketika dihubungi FMT.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan Adam akan bertanding di kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Kerusi tersebut sebelum ini dimenangi oleh bekas pemimpin PKR, Mansor Othman yang menyertai Bersatu selepas dipecat oleh PKR selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Berita mengenai pencalonan Adam di Hang Tuah Jaya sudah berjalan sejak dua hari yang lalu menurut seorang pemimpin AMK Melaka.

“Soal pencalonan, tiada lagi pengesahan daripada parti.

“Nama Adam disebut-sebut sebagai salah seorang calon PKR di Hang Tuah Jaya selain daripada seorang lagi calon wanita,” menurut beliau.

Nama calon wanita tersebut tidak dinyatakan oleh pemimpin PKR tersebut.

Namun, pencalonan Adam dilihat tidak mendapat sokongan akar umbi PKR di Melaka dan cabang Hang Tuah Jaya.

Beberapa pemimpin PKR di sana menyuarakan kekhuatiran akan berlakunya penolakan daripada akar umbi di sana sekiranya Adam dicalonkan di kerusi tersebut.

“Setakat ini, akar umbi menyuarakan rasa tidak senang sekiranya calon payung terjun diletakkan di sini,” kata seorang pemimpin PKR Melaka.

Sumber tersebut turut mengesahkan cabang Hang Tuah Jaya hanya meletakkan seorang calon di situ iaitu ketua cabang PKR Hang Tuah Jaya, Rafee Ibrahim.

Sebelum ini, PKR berjaya memenangi kerusi Hang Tuah Jaya melalui bekas timbalan menteri industri utama, Shamsul Iskandar Md Akin dengan majoriti 8,640 undi.

Shamsul pula disebut-sebut akan menjadi calon PKR di kerusi Bagan Datuk, Perak bagi berhadapan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.