`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 27, 2022

Melayu kampung lawan Melayu kota

 


Secara kasar, terdapat 125 kerusi Parlimen yang dapat dianggap sebagai kerusi pedalaman daripada keseluruhan 222 kerusi. 78 kerusi tersebut majoritinya pengundi Melayu. Jumlah pengundi tersebut jika dicampur tambah hanyalah mewakili 30% daripada seluruh populasi negara.

Ketaksamaan ini menggambarkan bagaimana orang Melayu kota, serta bukan Melayu secara umumnya, tidak diwakili secara saksama dalam sistem pilihan raya. Di kerusi-kerusi kampung inilah parti tertentu menguasai dan boleh memperolehi setinggi 133 kerusi Parlimen yang mana selebihnya lagi milik mereka yang tinggal di bandar. Kebanyakan kerusi-kerusi ini terletak di Pahang, Perak, Johor, Kedah, dan Pantai Timur Semenanjung. Kita tidak membincangkan kedudukan Borneo, kerana kedudukan mereka agak khas. Kita bercakap dulu mengenai Melayu kampung dan Melayu kota. Punyalah bobrok sistem sedia ada, 30% peratus menjadi ‘majoriti’ berbanding 70%.

30% di kampung inilah yang ‘memilih’ maju mundurnya sistem pengangkutan di kota. 30% di kampung inilah yang memilih pemimpin yang peduli atau tidak dengan nasib belia. 30% di kampung inilah yang memilih sistem kesihatan untuk seluruh rakyat. Punyalah bobrok sistem sedia ada, 30% menjadi ‘majoriti’ berbanding 70%.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

30% pengundi inilah yang mana kebanyakannya Melayu desa meletakkan negara kita dalam ‘tebusan’ apabila melantik pemimpin pincang dan tidak peduli, sehingga membiarkan ekonomi kita memburuk lantas berlaku inflasi. 30% pengundi inilah yang mana kebanyakannya Melayu kampung meletakkan negara kita dalam ‘tebusan’ apabila melantik pemimpin pincang dan tidak peduli, sehingga membiarkan anak-anak kita keciciran dalam bidang pendidikan. 30% pengundi inilah yang mana kebanyakannya Melayu pedalaman yang meletakkan negara kita dalam ‘tebusan’ apabila melantik pemimpin pincang dan tidak peduli, sehingga membiarkan rasuah bermaharajalela dan perasuah bermahalela raja. 30% pengundi inilah yang mana kebanyakannya Melayu desa meletakkan negara kita dalam ‘tebusan’ apabila melantik pemimpin pincang dan tidak peduli, sehingga membiarkan tatakelola pentadbiran di Malaysia diketawakan dunia.

30% jumlah pengundi inilah yang percaya hak-hak istimewa orang Melayu sedang ditelanjangkan padahal kita Melayu dalam keadaan bertanjak dan berbaju songket. 30% jumlah pengundi inilah yang percaya ketuanan Islam akan berkaki ayam padahal dalam keadaan bersandal tatah permata. 30% jumlah pengundi inilah yang percaya kedudukan raja-raja Melayu tergugat padahal dalam keadaan mereka berpayungan emas.

30% jumlah pengundi inilah yang ‘beriman’ dengan feudalisme yang mana pemimpin adalah ‘tuhan’ di permukaan kebun, estet, jala pukat, biji koko, daun ketum, tali air, dan dusun durian. 30% jumlah pengundi inilah yang ‘beriman’ bahawa kita mesti menciumi kura tangan pemimpin padahal pemimpin itulah yang bekerja untuk mereka. 30% jumlah pengundi inilah yang ‘beriman’ bahawa kes-kes di mahkamah berkait pemimpin rasuah itu palsu dan penipuan, tanpa diri sedar diri mereka dirompak terang-terangan. 30% jumlah pengundi inilah yang ‘beriman’ bahawa siapa yang mereka pilih tidak menjejaskan hidup kita di bandar dan kota. 30% jumlah pengundi inilah yang ‘beriman’ bahawa ada parti ‘komunis Cina’ sedang bertanding dalam PRU. 30% jumlah pengundi inilah yang ‘beriman’ bahawa ada parti mempromosikan pesta arak, LGBT, dan mendamba ‘cara hidup liberal’. 30% jumlah pengundi inilah yang ‘beriman’ dengan pemimpin sang kleptokrat.

30% ini ternyata tidak mewakili negara ini. Punyalah bobrok sistem sedia ada, 30% menjadi majoriti berbanding 70%.

Akan tetapi tidaklah mustahil 70% mengatasi 30%; ini kerana 70% memang pun ramai. 70% jumlah besar. 70% ini hanya perlu pulang dan meletakkan kasad dan kehendak yang jitu untuk membetulkan ketidaksamaan ini. 70% ini perlu merebut kembali ‘hak’ mereka yang ditelan 30%. 70% pengundi ini perlu menafikan penyelewengan berleluasa di Putrajaya. 70% pengundi ini perlu memberitahu 30% pengundi yang selama ini menentukan nasib mereka di bandar.

Beritahukan 30% pengundi Melayu di kampung betapa sengsaranya hidup di bandar dengan kos sara hidup yang naik. Beritahukan 30% pengundi Melayu di kampung betapa kita mementingkan penerokaan dan pembangunan bidang pendidikan. Beritahukan 30% pengundi Melayu di kampung betapa kita ingin memberdaya belia. Beritahukan 30% pengundi Melayu di kampung betapa kita mesti memantapkan perlindungan bencana di kala gugatan perubahan iklim. Beritahukan 30% pengundi Melayu di kampung betapa dengan kuasa bersama kita juga dapat memperkasa Sabah dan Sarawak. Beritahukan 30% pengundi Melayu di kampung betapa kita inginkan kehormatan untuk penjawat awam. Beritahukan 30% pengundi Melayu di kampung betapa kita ingin mengangkat kaum wanita. Beritahukan 30% pengundi Melayu di kampung betapa kita ingin memberi kepada mereka yang kurang upaya.

Demi menjayakan matlamat kesentosaan ini kita mesti memberitahu pengundi Melayu di kampung yang 30% kita mahu meningkatkan daya saing rakyat dan paling utama membanteras ke akar umbi rasuah dan korupsi kerana ia merupakan racun kepada kesentosaan nusa bangsa.

Caranya, 70% pengundi hendaklah mencelupkan jari dalam botol dakwat pada 19 November 2022 dan memangkah dengan bijaksana. Caranya baik apa pun, hujan badai ribut dan basah kuyup; 70% mestilah bertahan dan beratur untuk masuk ke pusat pengundian seawal mungkin. Caranya 70% hendaklah turun beramai-ramai sejak pagi. Caranya 70% yang otomatis boleh mengundi seawal usia 18 tahun hendaklah melaksanakan tanggungjawab sejujurnya.

30% pengundi Melayu di desa tidak mewakili negara ini. Kita beritahukan mereka yang 30%, tidak ada apa yang perlu ditakuti dengan pilihan 70%, kerana inilah demokrasi yang sihat. 60 tahun kita ‘membiarkan’ 30% memilih sesukanya, mengapa mereka tidak boleh memberi kita yang 70% peluang untuk menentukan juga nasib kita, iaitu nasib negara. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.