`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 14, 2022

Apa yang diperlukan PH untuk menang PRU15

 

Ada tiga pra-syarat untuk Pakatan Harapan mengulangi kejayaan memenangi PRU14 pada PRU15 kelak. Tiga pra-syarat ini digariskan ahli sains politik, Andreas Ufen, dari GIGA Institute of Asian Studies, Hamburg, di Jerman dalam sebuah makalah pada 2020 berjudul “Opposition in transition: pre-electoral coalitions and the 2018 electoral breakthrough in Malaysia”. Elok jika diziarah semula isi makalah ini.

Dalam mengkaji kekuatan PH sebelum PRU14, Andreas menggariskan pertamanya tuntas; keduanya kesatuan; dan ketiga berakar. Jika PH ingin menang sekali lagi, tiga pra-syarat ini harus diperhatikan.

Dalam menghuraikan tuntas, Ufen menyatakan terdapat dua kriteria. Pertama yang diperlukan ialah jumlah calon. Saya percaya PH, khususnya DAP, tidak mempunyai masalah memilih calon, dan memiliki ramai yang munasabah. Hal ini bagaimanapun mestilah ditunjukkan juga oleh parti gabungan yang lain iaitu PKR dan Amanah.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Terdapat dalam kalangan calon DAP, PKR, dan Amanah yang melompat parti ketika dan selepas Langkah Sheraton terutamanya di peringkat DUN, kebanyakannya didakwa sebagai ‘calon tangkap muat’. Harapnya parti bawah PH lebih waras kali ini dan bukan semata-mata tamak ingin bertanding sahaja. Jika ada calon DAP misalnya lebih menyerlah, lebih baik PKR mengundur demi PH. Jika PH kekurangan calon di kawasan tertentu, mereka kini mempunyai kemungkinan untuk berpakat dengan MUDA dan PSM bagi menghindari gejala ketidakcukupan kandidat.

Kedua, masih bawah kategori tuntas, Ufen menilai daya saing calon sedia ada. Yang dimaksudkan apakah calon itu dikenali pengundi, dan benar-benar mewakili kawasan yang ditandingi. Mana-mana calon payung terjun akan membawa risiko kepada kehilangan kerusi.

Jika calon luar diketengahkan, PH hendaklah mempunyai masa yang cukup dan setimpal untuk memastikan calon ini benar-benar dipercayai pengundi di kawasan tersebut. Sebagai contoh pada PRU14, PKR antara lain meletakkan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu di Segamat (yang kemudian ‘mengkhianati’ mandat pengundi di sana). Jika Amanah misalnya memerhatikan dengan tenang dan tekun terdapat kerusi yang mereka menangi dengan majoriti tipis, yang merupakan petunjuk jelas kepada kriteria yang disebut oleh Ufen tersebut. Jangan ulangi kesilapan ini.

Kedua, dalam hal kesatuan pula; Ufen menyatakan pertamanya, ia bermaksud “ideological proximity”. Iaitu mudahnya kebolehdayaan PH memaparkan mereka dalam satu platform, yang mana semua rakan-rakan gabungan tidak disepak diterajang sebaliknya semua mempunyai hak, kuasa, dan suara setara. Parti-parti dalam gabungan juga hendaklah saling mempercayai dan jujur. Kehancuran pentadbiran PH selepas 22 bulan memerintah ialah kerana keruntuhan “ideological proximity” ini.

Perkara kedua di bawah elemen kesatuan ialah terlihat rutin yang sama di mana ia ditandai oleh mesyuarat berkala, perbincangan yang mendalam mengenai isu-isu besar dan menyelesaikan masalah dalam diam, dan bukan terjaja ke luar sehingga disedari ahli dan aktivis parti atau pengundi.

Pada PRU14, gabungan PH kelihatan melekat apabila sepakat menggunakan logo PKR selepas bendera Pakatan Harapan dinafikan. Siapakah yang bertanggungjawab melakukannya? Tentu sahaja saksi-saksi sejarah ketika PRU14 boleh mengulang semula episod tersebut dan memastikan ia dilakukan sekali lagi, yakni apabila ada masalah timbul. Kebersamaan ini akan dilihat oleh pengundi dan memberikan keyakinan.

Elemen ketiga ialah berakar. Pertamanya, apa yang dimaksudkan oleh Ufen mengenai poin ini ialah hubungan gabungan PH dengan masyarakat sivil. Menjelang PRU14, PH terlihat mempunyai hubungan kukuh dengan masyarakat sivil antara lain gerakan Bersih. Pada satu keadaan pemimpin gabungan PH sebelum PRU14 iaitu Dr Mahathir Mohamad malah turun sekejap ke demonstrasi Bersih.

Keduanya, dalam hal berakar ini apakah PH mempunyai hubungan kuat dengan penyokong. Hal ini tentu sahaja bukan satu masalah memandangkan hubungan rapat ini terlihat jelas dalam kalangan penyokong parti-parti koalisi PH di media sosial. Hubungan yang dinamai “clientelistic links” ini juga menjangkaui kumpulan pendana yang membantu PH menyediakan wang atau dana memandangkan pihak pembangkang tidak sekaya dan semewah parti-parti kerajaan seperti Umno dan PAS.

Menurut Ufen, tiga syarat di atas sudah dipenuhi dengan cemerlang sekali oleh PH ketika PRU14 yang membawa kepada kekuatan mendepani raksasa seperti Barisan Nasional (BN). Inilah yang membolehkan parti-parti di bawah BN yang sedia lemah kerana dakwaan-dakwaan rasuah tumbang dan ditolak rakyat.

PH tentu sahaja boleh mengulangi kejayaan 2018 sekiranya memenuhi tiga syarat di atas. Justeru dalam hal memilih calon, parti bawah PH mesti membuktikan mereka tidak meletakkan calon asal boleh. Calon-calon ini mestilah pernah membuat kerja parti dan betul-betul dikenali. Dalam erti kata lain sekiranya parti tidak mempunyai calon, tidak perlulah dipaksakan. Jika calon ini menang dan tidak membuat kerja, sudahnya pengundi akan menyalahkan parti dan tidak lagi percaya dengan gabungan PH. Calon-calon tersebut mestilah pula mengenal kawasan yang ditandingi dan bukan baru hendak mesra.

Dalam hal ini, sebagai pengkaji saya melihat DAP mempunyai pelan peralihan yang wajar dan berkesan di Parlimen Bangi P102. Ahli Parlimen di situ Ong Kian Ming telahpun membuat penyusunan dan pelan peralihan buat pengundinya dengan memperkenalkan bakal calon yang disebut-sebut iaitu Syahredzan Johan. Pengundi Bangi juga mendapati Syahredzan kerap melawat kawasan yang bakal ditandingi dan kelihatan di mana-mana di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi luar biasa itu. Ini memberi petunjuk Syahredzan sudah mengenal kawasan yang bakal ditandinginya dan bukan sekadar sentuh dan pergi.

Kami pengundi, bukan pelacur. Jangan buat seperti perangai parti berkuasa di banyak kawasan yang mereka tandingi. Kami tidak akan mengundi botol kicap semata-mata kerana bendera partinya itu lumrah.

Dalam hal kesatuan, PH mungkin tidak hendak bergabung dengan Gerakan Tanah Air atau GTA, pandai-pandailah; akan tetapi paling tidak PH mestilah menunjukkan kesediaan dan kesantunan baik di peringkat atas hingga akar umbi terhadap parti-parti sejenis seperti MUDA dan PSM. Bukannya mempersendakan parti-parti kecil ini kerana sejarah menunjukkan kelompok kecil menyebabkan kejatuhan pentadbiran PH. Parti seperti Warisan misalnya juga ikut membantu memberikan PH kuasa pada 2018.

Perihal akar dengan pengundi dan masyarakat sivil, saya kira ini kekuatan PH akan tetapi tidak memadai untuk memenangkan PH sebagai sebuah gabungan kuat. Dua elemen sebelum juga hendaklah dipenuhi. Sebaliknya, jika blok GTA atau Barisan Nasional memenuhi tiga pra-syarat yang disebutkan oleh Ufen itu, mereka pasti mempunyai kelebihan.

Selamat bertanding, lebih penting jika menang bekerjalah untuk kami pengundi. Kamu hanyalah wakil kami, Wakil Rakyat, bukannya Tuan Rakyat. Kamu bukan raja. Sudah-sudahlah buat perangai penyamun. Pengundi tetap menolak muka penyangak. Kami pengundi mahukan Wakil Rakyat bukannya banduan.

Sungguh di era digital, pengundi tidaklah lagi terlalu bodoh, meskipun saya tidak nafikan, masih terdapat segelintir yang demi Allah, terlalu bebal. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.