`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 14, 2022

Rasuah pencetus gelombang PRU15

 

Langkah hebat dan strategi bijak. Begitu ungkapan atau kesimpulan saya apabila mendapat pesanan melalui WhatsApp bahawa Tawfik Ismail akan melawan Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno, pada PRU15.

Menurut Tawfik, beliau akan menentang Zahid di Bagan Datuk atau mana-mana kawasan yang Zahid bertanding. Bagi saya Tawfik seolah olah memberitahu presiden Umno itu “you can run but not hide”. Kamu boleh lari tetapi tidak boleh sembunyi, hebat bukan?

Tawfik menegaskan tema kempennya ialah “Rakyat lawan Rasuah”. Bijak. Presiden Umno itu masih berdepan kes di mahkamah, meskipun sudah didapati tidak bersalah atas pertuduhan rasuah dalam kes lain. Tawfik selaku calon bebas mencorakkan dirinya pembawa aspirasi rakyat yang menentang rasuah.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Saya menggesa semua rakyat yang benci rasuah melihat perlawanan saya sebagi perlawanan mereka,” kata Tawfik.

Bagan Datuk kubu kuat Zahid. Beliau menang pilihan raya di Bagan Datuk sejak 1995, bermakna Zahid menguasai Bagan Datuk sejak PRU9. Pasti tidak
ada rancangan untuk tanding kawasan lain. Ertinya Zahid akan cuba pertahan kerusi Bagan Datuk pada PRU15. Di atas kertas beliau akan menang lagi. Ramai pemerhati dan penganalisis politik percaya demikian walaupun mengakui dalam pilihan raya tidak ada kepastian 100%.

Namun itu tidak dihiraukan Tawfik berdasarkan apa yang beliau umumkan pada Khamis, 13 Oktober. Mengikut “credential” Tawfik tidak kurang hebat. Beliau anak kepada timbalan perdana menteri kedua, Dr Ismail Abdul Rahman – tokoh yang amat dihormati.

Tidak memeranjatkan Tawfik mengikut langkah ayahnya menyertai Umno dan pada 1980-an menang kerusi Parlimen Sungai Benut (sekarang Simpang Renggam). Beliau dewasa ini aktivis politik dan pengasas Gerak Independent atau Gerak yang akan meletakkan calon bebas di beberapa kawasan pada PRU ini.

Pemerhati politik menyifatkan peluang beliau menang lebih cerah di kawasan bandar yang pengundinya terdiri daripada pelbagai bangsa meskipun majoriti Melayu. Tetapi Tawfik memilih untuk “membawa fight saya ke Malay heartland”.

Bagi Tawfik, beliau tidak “memecahkan undi Pakatan Harapan”. Sebaliknya berharap pilihan raya kali ini akan “membuktikan rakyat akan menolak rasuah dan pemimpin rasuah atau yang dianggap mengamalkan rasuah dan salah laku,” kata beliau seperti dilaporkan media.

Beliau mendakwa keadaan rasuah sudah sampai ke tahap “kronik” lantas “saya mahu pemimpin khususnya Melayu kembali pada kompas moral yang betul,” menurut laporan Sinar Harian.

Tawfik sedar menentang seorang pemimpin parti politik besar yang punya jentera hebat bukan mudah tetapi “seseorang harus melakukannya”.

“Kita harus hantar mesej kepada rakyat bahawa masa depan negara bergantung pada imej yang bersih dalam kalangan pemimpinnya,” katanya.

Mesej sama dibawa parti pembangkang yang ‘anti-kleptokrat’ dan ‘anti-rasuah’. Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, umpamanya kita tahu selalu membuat pendedahan yang disifatkan sebagai skandal rasuah dan salah guna kuasa. Oleh yang demikian adakah pembangkang khususnya Pakatan Harapan akan memberi laluan kepada Tawfik bagi memastikan pertandingan satu lawan satu di Bagan Datuk, berdasarkan mereka sama-sama ‘menentang rasuah’?

Jika sifat kepartian dan ego peribadi ditolak tepi saya rasa itu akan dilakukan, juga jentera PH membantu Tawfik berkempen. Namun Gerak yang diasas Tawfik bercadang letak calon di beberapa kawasan yang kini dipegang PH. Isu ini pasti menjadi masalah apabila bercakap mengenai kerjasama PH dengan Tawfik di Bagan Datuk. Ini mereka mesti bereskan terlebih dahulu.

Apa pun mungkin pakatan pembangkang boleh mengangkat tema Rakyat Lawan Rasuah sebagai ‘seruan perang’ ke seluruh negara. Tema itu akan menggambarkan satu “concerted effort” menentang rasuah.

Baru-baru ini Zahid mencetus kontroversi susulan ucapan di perhimpunan agung tahunan MIC. Tentu ramai yang tahu apa yang saya maksudkan. Laporan ucapan itu dan juga klip video sudah tular.

Ringkasnya Zahid memberitahu khalayak kepimpinan BN akan berdepan pendakwaan sekiranya BN tewas lagi kali ini pada PRU15. Bukan sahaja mengeluarkan peringatan secara am, Zahid menyebut nama pemimpin BN seorang demi seorang – Mohamad Hasan (timbalan presiden Umno), SA Vigneswaran (presiden MIC) serta timbalanya M Saravanan, Wee Ka Siong (presiden MCA), juga Hishamuddin Hussein (bekas menteri pertahanan).

Kementerian Pertahanan kita tahu mendapat perhatian ramai berikutan pendedahan skandal kapal tempur pesisir (LCS). Ramai menganggap Zahid seolah-olah mengaku barisan pemimpinnya terpalit rasuah lantas perlu berhati-hati tetapi Zahid kemudian menegaskan beliau sebenarnya merujuk kepada “pendakwaan terpilih bermotifkan politik”.

Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin, berkicau di Twitter berkaitan dakwaan perlunya menang pilihan raya bagi mengelakkan pertuduhan rasuah.

“Jika itu berlaku negara ini akan jadi syurga rasuah,” tulisnya tanpa menamakan sesiapa.

Jelas soal rasuah akan menjadi isu besar pada PRU15. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.