`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 14, 2022

Apabila Umno lemas, PAS lebih kemas

 

Umno-BN pernah menerajui kerajaan Kelantan dari 1978 hingga 1990. Ini realiti sejarah. Tetapi semasa kemuncak pergaduhan dalaman Umno pada 1988, apabila Tengku Razaleigh kalah dalam pertandingan jawatan presiden kepada Mahathir, Umno berpecah.

Kesan perpecahan itu kemunculan parti baharu, Semangat 46. Pada 1990 PRU8 diadakan. PAS dan Semangat 46 berganding bahu, bersama pengasasnya Tengku Razaleigh. Mereka dengan mudah berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN di Kelantan dengan keputusan yang amat malang kepada Umno-BN dan di luar jangkaan ramai pemerhati.

Sebelum PRU8, Umno-BN mempunyai 29 kerusi DUN di Kelantan, berbanding PAS yang ada cuma 10 kerusi. Bagi kerusi Parlimen pula, Umno-BN menguasai 12 kerusi manakala PAS satu kerusi sahaja.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Keputusan PRU8 memberi kemenangan kepada PAS-Semangat 46 di semua kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan. Tidak ada satu kerusi pun yang dapat Umno-BN pertahan, semua kalah. Kosong.

Nik Aziz

Dari situlah munculnya Nik Aziz Nik Mat (pertama kali menang di kerusi N04, Semut Api pada 1985) dan menonjolkan beliau sebagai menteri besar Kelantan baharu, sehinggalah meninggal dunia pada Februari 2015.

Politik dan kesederhanaan karekter Nik Aziz memberi tamparan hebat kepada Umno selama tiga dekad mendatang.

Selepas kekalahan paling teruk itu, kerajaan pusat yang diterajui Umno-BN dan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri bersikap bermusuhan dan meminggirkan Kelantan, bukan saja di arena politik tetapi juga di arus pembangunan.

Terdapat dakwaan segala jenis pembangunan dan projek kerajaan persekutuan dibekukan, termasuk imbuhan atau ‘royalti’ minyak dan gas. Kelantan dianggap seperti musuh utama kerajaan persekutuan (Umno) selama lebih 30 tahun.

Krisis Anwar-Mahathir

Keadaan menjadi lebih buruk pada 1998, apabila krisis politik antara Anwar Ibrahim dan Mahathir berlaku. PRU10 pada 1999 boleh dijadikan sebagai satu lagi kayu pengukur terhadap perebutan kuasa politik antara PAS dan Umno.

Umno, bukan hanya kalah teruk di Kelantan, tetapi juga di Terengganu dengan PAS menguasai 28 dari 32 kerusi DUN. Tujuh daripada lapan kerusi Parlimen Terengganu jatuh ke tangan PAS dan baki ke tangan PKR, parti baharu yang dibentuk penyokong Anwar.

Krisis dalaman Umno, banyak membuka peluang kepada PAS untuk dipilih oleh pengundi Melayu di Terengganu dan Kelantan. Buat pertama kalinya, Umno tidak mempunyai kerusi parlimen di Terengganu dan Kelantan.

Di Kedah juga, PAS berjaya bertapak dengan lebih gagah, memenangi 12 dari 36 kerusi DUN, serta 8 dari 15 kerusi Parlimen.

Sementara itu, PAS juga mencatat sejarah dengan mendapat 27 kerusi Parlimen, jumlah terbanyak dalam hayat parti itu.

Inilah fakta sejarah yang bisa berulang di tiga negeri di mana penduduknya majoriti Melayu pada PRU15.

Persepsi dan realiti

Pada masa sekarang, kedudukan kerusi DUN dan Parlimen di tiga negeri tersebut tidak banyak memihak kepada Umno. Di Kedah, Umno-BN memiliki cuma 3 daripada 36 kerusi DUN dan 2 daripada 15 kerusi Parlimen.

Di Kelantan pula, kedudukannya ialah Umno-BN menduduki 8 daripada 45 kerusi DUN dan 3 daripada 14 kerusi Parlimen. Di Terengganu, 10 daripada 32 kerusi DUN dan 1 daripada 8 kerusi Parlimen.

Jumlah pemilikan kerusi Umno-BN untuk tiga negeri yang ramai pengundi Melayu ini, ialah 6 daripada 37 kerusi Parlimen atau 16%, sementara DUN ialah 21 daripada 115 kerusi atau 18% sahaja.

Perangkaan ini realiti, bukan sekadar persepsi. Realiti ini harus menakutkan dan menjadi tekanan terhadap ramai ahli dan pemimpin Umno.

Sekarang, PAS bersama sekutunya Bersatu (serpihan Umno juga) jauh mendahului Umno dalam kalangan pengundi Melayu di tiga negeri tersebut. Enam kerusi Parlimen Umno itu boleh ditandingi Bersatu. Tanpa calon PAS dan dengan perlawanan dua penjuru, Umno dijangka akan kehilangan semua.

Persoalan yang timbul ialah kenapa dan mengapa PAS masih harus bermuafakat dengan Umno?

Kalau untuk ketiga negeri tersebut, maka jawapannya ialah tidak perlu. Kerana agak jelas di sana, pengundi memilih parti.

Pengundi di sana tidak melihat kepada ketandusan pimpinan dalam PAS atau kecetekan polisi atau isu-isu yang dimainkan PAS remeh-temeh belaka. Mereka melihat kepada kezaliman mengadakan PRU di musim tengkujuh, seperti zalimnya tidak membantu pembangunan di Kelantan. Mereka merasakan yang memiskinkan Kelantan ialah Mahathir dan Umno. Ini mungkin persepsi mereka.

Tetapi, mereka juga tahu kelemahan Umno. Pimpinan yang berpaksikan kepada kekayaan negara yang melimpah, tetapi tidak sampai kepada rakyat di bawah.

Potensi kehilangan 37 kerusi serta enam kerusi Umno sedia ada daripada 89 kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu satu cabaran yang amat berat buat Umno. Ini belum dihitung potensi kerusi Bersatu, yang bertukar tangan dari Umno.

Perangkaan ini tidak berbohong dan daripada kajian undian yang lepas, jumlahnya tidak memihak kepada Umno. Jadi, di mana letaknya kebijaksanaan pemimpin Umno untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU terkejut di musim tengkujuh ini?

Ini strategi politik yang amat lemah dan tidak waras. Tidak hairanlah “tagline” popular dalam kalangan PAS sekarang: Apabila Umno lemas, PAS lebih kemas. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.