`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 26, 2022

Didakwa terlibat kartel ayam, 5 syarikat diminta kemuka representasi

 

Rosol Wahid berkata, Suruhanjaya Persaingan sebelum ini mengarahkan lima syarikat yang beroperasi di Pantai Barat itu mengemukakan representasi pada 21 Okt lalu, namun dilanjutkan atas beberapa faktor, termasuk keadaan kes yang kompleks.

KUALA NERUS: Lima syarikat pengeluar ayam diberi lanjutan masa sehingga 19 Dis ini untuk mengemukakan representasi bagi menafikan dakwaan penglibatan mereka dalam aktiviti kartel ayam di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata, lima syarikat itu yang beroperasi di Pantai Barat sebelum ini, diarahkan Suruhanjaya Persaingan (MyCC) untuk mengemukakan representasi pada 21 Okt lalu, namun dilanjutkan atas beberapa faktor, termasuk keadaan kes yang kompleks.

“MyCC telah menjalankan siasatan terperinci dan mendapati ada bukti atau unsur-unsur penglibatan mereka dalam aktiviti kartel ayam.

“Bagaimanapun, atas permintaan mereka (syarikat) dan selepas membuat beberapa pertimbangan, MyCC bersetuju memberi tempoh lanjutan untuk kemukakan bukti penafian memandangkan ia kes kompleks,” katanya selepas Program ‘CA2010@University’ bersama MyCC dan sesi dialog program Food Bank Malaysia bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Pada majlis itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut mengagihkan 300 kotak sumbangan barang keperluan kepada pelajar UniSZA dan UMT.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kenaikan harga tiket kapal terbang, terutamanya destinasi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, walaupun kawalan harga tiket itu bukan di bawah tanggungjawab KPDNHEP, pihaknya akan bekerjasama dengan menyalurkan aduan itu kepada Kementerian Pengangkutan.

“Kita harap pihak berkaitan membuat siasatan dan mengambil tindakan segera supaya isu ini tidak menghalang rakyat menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

“Segala masalah pengguna akan lapor melalui kita (KPDNHEP). Masalah yang mereka kemukakan ini kita akan salur kepada kementerian untuk bantu rakyat.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.