`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, October 7, 2022

Kerajaan tak cadang kekal pejabat UNHCR urus pelarian, kata menteri

 

Sehingga Mac tahun ini, seramai 182,000 pelarian dan pemohon suaka dari 50 negara berada di Malaysia dan bilangan tertinggi adalah etnik Rohingya iaitu seramai 156,110 orang.

PETALING JAYA: Kerajaan tidak berhasrat mengekalkan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selama-lamanya dalam menguruskan pelarian dan pemohon suaka di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad.

Ini kerana, katanya, pejabat UNHCR di negara ini menjadi faktor penarik kepada peningkatan kemasukan migran asing untuk mendapatkan perlindungan suaka.

Katanya, kerajaan juga sedang melaksanakan pembaharuan berstruktur terhadap polisi dan dasar sedia ada yang mana ketika ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah agensi bertanggungjawab menyelaras dan mengkoordinasi kementerian dan agensi berhubung perkara itu.

“Arahan MKN No 23 dalam proses penambahbaikan dan penekanan telah diberikan terhadap pengukuhan kepada proses penentuan status pelarian yang akan dilaksanakan oleh kerajaan, penubuhan jawatankuasa khusus di peringkat tertinggi pentadbiran kerajaan serta penyelarasan sistem sokongan sosial kepada pelarian dan pemohon suaka.

“Pejabat UNHCR berada di Kuala Lumpur bagi menguruskan penempatan ke negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal.

“Bagaimanapun, didapati kehadiran pelarian khususnya dari Myanmar terus meningkat dan penghantaran pulang ke negara asal atau negara ketiga amat rendah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Charles Santiago (PH-Klang) yang meminta kerajaan menjelaskan cadangan MKN supaya pejabat UNHCR ditutup dan pengurusan pelarian diambil alih kerajaan.

Mengulas lanjut, Latiff berkata, sebarang perubahan perlu dilakukan secara berhemah dan ketekunan wajar selain memastikan agensi kerajaan benar-benar bersedia mengambil alih peranan dari UNHCR.

Katanya, ia bagi memastikan tiada lagi keperluan pejabat UNHCR di Malaysia di masa hadapan dan pejabat UNHCR di Thailand atau di Indonesia boleh memainkan peranan lain yang diperlukan oleh mereka berkaitan pelarian di negara ini.

“Kerajaan akan memastikan setiap pihak termasuk UNHCR di Malaysia bekerjasama bagi memastikan negara mempunyai dasar dan perundangan jelas, selaras dan sistematik berkaitan pengurusan pelarian dan pemohon suaka tanpa perlu mempunyai keterikatan dengan apa-apa instrumen antarabangsa,” tegasnya.

Pada 6 Sept, Ketua Pengarah MKN, Rodzi Md Saad mencadangkan pejabat UNHCR ditutup susulan badan dunia itu seolah-olah tidak menghormati pihak kuasa tempatan dalam mengeluarkan kad kepada “pelarian”.

Katanya, pelarian mencari perlindungan dengan UNHCR, yang mana kad dikeluarkan tanpa merujuk pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Imigresen.

Sehingga Mac tahun ini, seramai 182,000 pelarian dan pemohon suaka dari 50 negara berada di Malaysia dengan etnik Rohingya dari Myanmar adalah tertinggi seramai 156,110 orang.

Beberapa pakar sosial berpandangan, lambakan pelarian berkenaan jika tidak ditangani segera boleh menimbulkan konflik yang teruk kepada negara, terutama kesan ditanggung oleh kerajaan dari sudut kesihatan dan kewangan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.