`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 23, 2022

Mas Ermieyati diumum calon PN Parlimen Masjid Tanah

 

Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket BN pada PRU14 menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan dua pencabarnya Sabirin Ja’afar (PKR) dan Nasir Othman (PAS).

ALOR GAJAH: Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada Prihatin Parlimen Masjid Tanah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Melaka di Kampung Paya Lebar di sini, malam tadi.

“Kebetulan saya ada di sini, nampak semua sudah bersemangat, saya kata okeylah, saya umum sajalah (Mas Ermieyati sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah).

“Berdasarkan rekod prestasi dan dia pun saya fikir telah menjaga kawasan dengan baik, orang lama, banyak pengalaman dalam kerajaan, dia punya profil pun bagus, jadi bagi saya ini yang terbaik… sebab itu saya ambil kesempatan (umum). Saya harap orang Masjid Tanah akan berasa gembira dan menyokong beliau,” katanya.

Pada PRU14, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan dua pencabarnya Sabirin Ja’afar (PKR) dan Nasir Othman (PAS).

Mas Ermieyati kemudiannya menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata PN hampir menyelesaikan agihan kerusi serta calon bertanding, dan nama-nama calon akan diumumkan Pengerusi PN di negeri masing-masing manakala manifesto sebelum hari penamaan calon.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dalam reaksinya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti dan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kemenangan pada PRU15.

“Siapa pun yang diletakkan (sebagai lawan) kita akan cuba sedaya upaya dan sehabis baik untuk berkempen, menerangkan dan jumpa dengan pengundi-pengundi untuk memberikan apakah tawaran yang kami boleh berikan sekiranya saya dimandatkan sebagai ahli Parlimen Masjid Tanah (sekali lagi),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.