`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 13, 2022

Muda Sabah sedia buat penampilan pertama pada PRU15

 

Muda Sabah sedia buat penampilan pertama pada PRU15 dan menyasarkan beberapa kerusi Parlimen, kata ketuanya Amos Thien

KOTA KINABALU: Muda Sabah bersedia untuk membuat penampilan pertama mereka pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) akan datang di negeri berkenaan.

Ketuanya Amos Thien berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kerusi untuk ditandingi namun ianya masih belum dimuktamadkan kerana perkara berkenaan masih dalam perbincangan dengan “rakan” mereka, Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Thien tidak menyebut kerusi mana yang disasarkan namun sebelum ini, parti yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu pernah menyatakan yang mereka mempunyai akar umbi kuat di kerusi Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Ranau.

“Muda Sabah menyasarkan beberapa kerusi Parlimen dan siri perbincangan mengenainya masih lagi berjalan.

“Keputusan akhir nanti akan diumum oleh Muda dan PH Sabah kerana dua parti ini mempunyai autonomi sendiri berkenaan hal negeri,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Thien turut mengalu-alukan pengumuman Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang mengatakan gabungan itu sedia mempertimbangan Muda sebagai pakatan pilihan raya mereka.

Katanya, pengumuman Anwar itu satu perkembangan baik dan menunjukkan Muda juga sebuah pesaing politik utama, terutama dalam usaha meraih undi golongan muda yang menjadi majoriti pengundi pada PRU15 nanti.

“Pakatan ini juga membolehkan Muda Sabah bukan hanya akan bekerjasama rapat dengan PH untuk PRU15 malah dalam menghadapi PRN17 (pilihan raya negeri ke-17) yang dijangka berlangsung dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

“Pakatan pilihan raya ini juga memberi peluang kepada Muda untuk membuat penampilan pertama dengan menggunakan logo sendiri selepas sebelum ini menjelajah hampir di setiap pelusuk negeri menerusi program ‘politik khidmat’,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, PH mempertimbangkan untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan Muda berbanding menerimanya sebagai parti komponen bagi menghadapi PRU15.

Katanya, sukar untuk menerima Muda sebagai parti komponen kelima gabungan itu kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

“Setakat ini, (perbincangan untuk membentuk) pakatan pilihan raya sebab kalau (terima mereka sebagai) ahli rasmi perlu kelulusan JPPM.

“Jadi, saya tidak fikir JPPM akan luluskan apa-apa sekarang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.