PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat DAP menggesa pentadbiran negeri Perak meluluskan akta anti-lompat parti sebelum DUN dibubarkan bagi mengelak berulangnya pengkhianatan.
ADUN Keranji Chong Zhemin membuat gesaan itu selepas Menteri Besar Saarani Mohamad dilaporkan akan menghadap Sultan Nazrin Shah hari ini untuk memohon perkenan membubarkan DUN supaya seiring dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pembubaran DUN tidak perlu diadakan secara terburu-buru. Saarani boleh memanggil satu sidang DUN tergempar untuk membentangkan dan meluluskan akta anti-lompat dalam tempoh sehari, katanya.
“Saya ingin menyeru Saarani supaya jangan bertindak terburu-buru dalam pembubaran DUN Perak kerana akta anti-lompat parti Perak belum dibentangkan dan diluluskan.
“Saya yakin penggubalan perlembagaan negeri (berhubung) akta anti-lompat parti ini boleh mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN Perak,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, kerajaan negeri Perak yang sah dijatuhkan dua kali dalam tempoh 11 tahun disebabkan pengkhianatan dan ADUN yang melompat parti.
“Kali pertama pada 2009, di mana tiga ADUN Pakatan Rakyat (PR) keluar daripada parti masing-masing, menjadi ADUN bebas dan menyokong Barisan Nasional.
“Pengkhianatan kedua berlaku pada 2020, di mana beberapa orang ADUN telah mengalih sokongan dan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang,” katanya.
“Oleh itu, Perak wajib meluluskan akta anti-lompat parti sebelum DUN Perak dibubarkan untuk mengelakkan peristiwa pahit ini berulang lagi.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.