`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 26, 2022

‘Titiwangsa istimewa di hati saya’, Johari mahu terus berkhidmat kepada masyarakat setempat

 

Johari Abdul Ghani memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU13 namun tewas kepada Rina Harun pada PRU14.

PETALING JAYA: Johari Abdul Ghani mungkin sekali lagi disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, beliau masih inginkan kerusi tersebut, walaupun banyak kerusi lain ditawarkan kepadanya.

Titiwangsa istimewa di hati beliau, menurutnya, kerana ia tempat beliau lahir dan bersekolah.

Justeru, beliau ingin terus berkhidmat kepada masyarakat setempat, termasuk dalam isu pembangunan semula Kampung Baru.

Johari memenangi Parlimen Titiwangsa pada PRU13, sebelum dilantik menjadi timbalan menteri kewangan pada 2015 dan seterusnya menteri kewangan kedua selepas rombakan Jemaah Menteri pada 2016.

Beliau tewas kepada Ketua Srikandi Bersatu Rina Harun pada PRU14, namun beliau tidak menganggapnya sebagai kekalahan mutlak kerana pencabarnya itu cuma meraih majoriti 4,139 undi.

Pada PRU15, Johari yang juga Ketua Umno Wilayah Persekutuan dijangka bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH) Khalid Samad di kerusi tersebut.

Dalam pada itu, Johari yakin BN berupaya merampas kembali enam kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang dikuasai pembangkang, iaitu Titiwangsa, Batu, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

“Dengan calon yang tepat, kita mempunyai lebih 50% peluang untuk menang di kawasan ini.

“Jika kita ingin mencetuskan ‘tsunami’, ia harus bermula dari sini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mengulas pandangan pakar mengenai kerjasama politik yang mungkin perlu dijalin BN dengan parti pembangkang termasuk DAP, Johari bersikap terbuka terhadap cadangan itu.

Mengenai perancangan Umno menangani sentimen di peringkat akar umbi berhubung cadangan itu, beliau berkata, ia boleh dibincangkan selepas keputusan PRU15 diketahui.

Johari berkata, negara memerlukan parti yang meraih kemenangan dengan majoriti kukuh pada PRU15 bagi membolehkan kerajaan menangani pelbagai cabaran.

“Rakyat tidak wajar mengambil mudah kepentingan mempunyai kerajaan yang kukuh dan berwibawa selepas PRU15.

“Perkara ini perlu menjadi sebahagian daripada kematangan politik rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan wujudnya keseimbangan antara muka lama dan baharu.

“Kita perlukan pemimpin berwibawa dengan pasukan yang baik untuk menghadapi PRU15.”

PRU15 akan berbeza berbanding dua PRU terdahulu, ramalnya,

Perubahan besar terutama berhubung sentimen pengundi bandar disebabkan isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) banyak memberi kesan kepada keputusannya, menurut Johari.

Beliau berkata, cabaran parti bertanding pada PRU15 adalah untuk menyantuni golongan muda, terutamanya dalam lingkungan usia 18 hingga 20 tahun, yang secara automatik didaftar sebagai pengundi.

“Sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan mesti mempunyai Jemaah Menteri berwibawa. Tanpa kekuatan itu, kita (dapat) lihat bagaimana keadaan ekonomi negara sejak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan perlu memperkenalkan dasar tidak popular jika perlu. Ia mungkin tidak digemari semua tetapi generasi akan datang bakal mendapat manfaatnya,” katanya.

Beliau turut mengkritik tindakan kerajaan PH sebelum ini memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), walaupun ia diiktiraf di peringkat global sebagai sistem percukaian yang baik.

Katanya, sukar untuk meyakinkan orang ramai menerima semula GST kerana mungkin ada yang beranggapan cukai itu akan kembali dimansuhkan menjelang PRU16. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.