`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 26, 2022

Tolonglah, bina sekolah Cyberjaya 2, desak ibu bapa

 

Keadaan sesak di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya yang merunsingkan ibu bapa.

CYBERJAYA: Ibu bapa murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya tidak lagi peduli parti manakah bakal membentuk kerajaan di Putrajaya kelak, sebaliknya bertegas mahukan sekolah baharu dibina di bandar itu.

Tinjauan FMT mendapati rata-rata ibu bapa gelisah memikirkan nasib anak mereka kerana terpaksa belajar dalam kelas padat dan berkongsi menggunakan fasiliti sekolah yang makin uzur saban tahun.

Mereka juga berkongsi pengalaman “mendebarkan” ketika terpaksa berebut mendaftarkan anak masing-masing ke tahun satu SK Cyberjaya, dua tahun lebih awal, berikutan tempat yang begitu terhad.

Harfizi Shaharuddin.

“Nak daftar anak ke tahun satu, saya kena daftar dua tahun awal dan kena cepat-cepat sebab tempat kosong hanya lebih kurang 500 sahaja, tapi permohonan, saya diberitahu lebih daripada 1,000.

“Kalau lambat anak-anak akan dapat sekolah di Puncak Perdana, Dengkil, Putrajaya pun ada. Ini susahkan ibu bapa sebab jauh dari rumah dan laluan bertentangan dengan tempat kerja kami,” keluh Harfizi Shaharuddin kepada FMT.

Pendidikan asas tanggungjawab kerajaan

Harfizi yang juga juruteknik di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Cyberjaya bertegas, menyediakan pendidikan asas baik adalah tanggungjawab kerajaan, tidak kira parti mana berkuasa.

“Parlimen bubar ke? Tukar kerajaan ke? Kena ingat, sekolah ini keperluan asas. Apa-apa kerajaan pun selepas ini, teruskan laksana benda-benda baik yang dirancang kerajaan terdahulu”.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob pada 7 Oktober mengumumkan Bajet 2023 yang antara lain membawa khabar gembira buat warga Cyberjaya, namun tidak berkekalan selepas Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 Oktober depan.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Fiza, memberitahu ada ibu bapa yang anak-anaknya terpaksa bersekolah di tempat berlainan, disebabkan isu kepadatan.

“Ada ibu bapa yang anak sulungnya bersekolah di SK Cyberjaya dan anak kedua dan seterusnya terpaksa bersekolah di SK Putra Perdana. Ini terang-terang menyusahkan. Kesian pada anak-anak dan ibu bapa tu.

“Dulu orang ingat di Cyberjaya ini tiada orang nak duduk. Sekarang makin banyak kawasan perumahan dibina, tetapi pahit untuk ditelan, bandar Cyberjaya yang luas ini, hanya ada satu sekolah rendah dan satu sekolah menengah,” keluhnya.

Aimi Mohamad, bekas jurulatih fisioterapi berharap, kerajaan bukan sahaja membina sekolah baru di bandar itu tetapi perlu memasukkan SK Cyberjaya ke dalam senarai “sekolah untuk dipantau”.

“Sekolah ini sudah tidak bersedia untuk menerima jumlah murid yang ramai dalam satu-satu masa. Bayangkan satu kelas ada 40-45 orang murid. Bukan murid sahaja tak selesa, guru pun saya pasti sukar nak mengajar.

“Sekolah ini semakin uzur dan perlu lebih perhatian pihak kementerian. Pendidikan penting untuk melahirkan rakyat yang bijak seterusnya memimpin negara kelak,” katanya.

Kenapa cuma satu sekolah saja?

Jururunding swasta, Mohd Hafiz Hanawi, mempersoalkan mengapa hanya ada sebuah sekolah di bandar sebesar Cyberjaya, sedangkan kawasan lain memiliki jumlah sekolah yang banyak.

“Di Presint 17, Putrajaya sahaja umpamanya, ada tiga buah sekolah. Sekolah di sana agak mewah. Sedangkan di sini hanya ada satu sekolah rendah, satu sekolah menengah dan satu sekolah Cina. Kenapa?” soalnya yang juga ahli kumpulan sokongan Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) SK Cyberjaya.

Yang Dipertua PIBG Mohd Azrul Razilah beramah mesra dengan salah seorang murid di SK Cyberjaya.

FMT berhasil mendapatkan komen Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Mohd Azrul Razilah.

“Sekolah ini ada sekitar 2,400 murid. Memang padat dengan keadaan fasiliti kurang memuaskan berbanding mula-mula dibina dulu. Masalah pendawaian, kipas tidak berfungsi, tandas yang diguna secara maksimum kerap rosak dan semua ini berlaku secara kerap.

“PIBG kami sudah buat apa termampu dan sudah banyak kami bantu pengurusan sekolah demi anak-anak dan para guru. Selepas PRU, kami benar-benar harap sekolah baharu tetap dibina tanpa ada isu gangguan politik demi masa depan anak-anak kita,” katanya.

FMT sebelum ini sudah pun melaporkan perihal kepadatan SK Cyberjaya sehinggakan waktu rehat terpaksa diadakan dua kali untuk setiap sesi pagi dan petang.

Malah keadaan sesak di sekolah itu sudah pun dalam pengetahuan menteri pendidikan dan ketua setiausaha KPM, namun mengambil masa yang lama sebelum pengumuman Bajet 2023.

Selain cadangan membina SK Cyberjaya 2, bajet itu turut merangkumi pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam (Shah Alam), SK Paya Dusun (Terengganu), SMK Nabalu (Sabah) dan SMK Dudong (Sarawak). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.