Mengapa ada antara kita yang termakan dan telan bulat-bulat retorik dihidangkan sang politikus?

Kita tak pandai main politik. Okeylah kalau bukan semua ramai antara kita. Kita maksud saya rakyat biasa. Bukan politikus. ‘Not politicians per se’. Tetapi golongan kita yang minat politik dan sokong parti politik.
Namun, kita penuh emosi. Tidak mahu setuju untuk tidak setuju. Semua mesti setuju dengan kita. Berlainan pendapat tak kawan. Jadi musuh pun boleh. Singkatnya kita tidak boleh terima pandangan berbeda.
Jika parti yang lawan parti yang kita sokong ada buat benda yang bagus kita kenalah berani mengakui hakikatnya. Tetapi ini tidak berlaku. Kita tetap kata parti yang kita tidak sokong itu salah. Parti yang kita sokong betul sepanjang waktu. Ramai yang terbawa-bawa dengan sentimen.
Terlalu taasub. Istilah yang saya kira tepat untuk digunakan dalam menggambarkan keadaan ini. Dan dalam ketaasuban tercetus perangai buruk.
Maka, saya setuju dengan apa dikatakan Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre menerusi catatannya di Facebook baru-baru ini. Kata beliau:
“Saya bimbang sistem sosial kita akan runtuh jika pilihan raya demi pilihan raya diadakan secara berterusan. Runtuh akhlak, runtuh adab, runtuh perpaduan, runtuh segala teras sosial.
“Kajian-kajian akademik telah membuktikan elemen perpaduan masyarakat merosot setiap kali musim pilihan raya.” Saya mencelah. Kita seolah tidak hargai demokrasi dan salah guna kebebasan bersuara, memilih dan sebagainya.
Kata Yusri lagi: “Sebab itu sebelum ini saya pernah mencadangkan supaya tarikh pilihan raya ditetapkan siap-siap setiap lima tahun.”
Saya mencelah sekali lagi. Saya pernah lama dulu mencadangkan perarakan pada hari penamaan calon diharamkan. Bagi saya calon hanya elok diiringi dua saksi ketika menyerahkan borang penamaan di pusat penamaan calon.
Tidak perlulah diarak bagai pengantin dan diiringi ratusan penyokong kerana sering berlaku ejek-mengejek segala macam provokasi antara kumpulan penyokong calon.
Jelas dan nyata tiada siapa hiraukan cadangan itu. Perarakan iring calon pada hari penamaan berterusan lengkap dengan kemeriahan dan malangnya juga maki-memaki.
Kembali kepada catatan Yusri. Menurut beliau cadangan agar tarikh pilihan raya ditetapkan awal setiap lima tahun ialah ‘supaya semua pihak tahu bila pilihan raya akan diadakan, tiada elemen kejutan, tiada elemen kelebihan kepada parti pemerintah’.
Namun, menurut saya golongan yang suka buat perangai akan tetap buat perangai meskipun tahu awal bila pilhan raya akan diadakan. Sekadar pendapat saya.
Apa pun kata Yusri lagi jika pilihan raya mengejut terpaksa diadakan berikutan terjadi sesuatu di luar jangkaan yang menyebabkan dewan legislatif dibubar atau terbubar, kerajaan baharu yang ditubuhkan (maknanya oleh parti yang menanglah) perlu dibenarkan mencukupi atau melengkapkan baki penggal sahaja – bukan diberi mandat baharu lima tahun penuh.
“Ini untuk mengelak supaya tiada mana-mana pihak memanipulasi pembubaran awal dewan untuk mendapatkan apa-apa kelebihan. Ini untuk membolehkan kita kembali mengadakan pilihan raya umum serentak pada masa masa akan datang,” kata beliau.
Supaya menurut Yusri, pilihan raya hanya diadakan dalam tempoh setiap lima tahun sekali sahaja.
Tetapi, sang politikus kita pakar manipulasi. Tak ada pilihan raya langsung pun boleh. Ingat Langkah Sheraton? Dapat dirikan kerajaan tanpa pilihan raya. Sekali gus nafi hak rakyat. Hebatkan sang politikus kita?
Dan kita sudah saksikan ada pilihan raya negeri yang sengaja diadakan awal yakni lama sebelum tempoh mandat selesai. Tentunya setelah yang memerintah ambil kira strategi menguntungkan.
Dan ada juga pilihan raya yang terpaksa diadakan kerana yang memerintah dipaksa oleh pihak lawan. Yusri juga bercakap mengenai kempen. Dalam tempoh kempen setiap lima tahun tersebut ‘mungkin akan sedikit hangat dan beremosi’.
Namun, katanya ‘kita boleh kembali cool down selepas itu dan fokus kepada pembangunan masyarakat dan negara, hidup dengan tenang dan damai selayaknya sebagai masyarakat bertamadun’.
Bercakap mengenai ‘cool down’ saya teringat di Indonesia ada apa yang dipanggil ‘masa tenang’ selepas tempoh kempen tamat. ‘Masa tenang’ selama tiga hari. Selepas itu baru diadakan pilihan raya. Baru ‘coblos’.
Di negara kita, dibolehkan berkempen berterusan sehingga tengah malam sehari sebelum pilihan raya. Panas terus memanas.
Seterusnya, Yusri berkata jika pilihan raya diadakan secara bersambung satu demi satu, kita akan berada dalam ketegangan yang sangat tinggi lantas ‘ini tidak bagus untuk sistem sosial kita, apatah lagi dalam keadaan literasi politik warga kita tidaklah sebaik mana’. Inilah yang saya sampaikan diawal penulisan ini.
Banyak lagi saranan dan pendapat yang bagus diluahkan Yusri yang tidak sempat saya huraikan di sini. Yang berminat sila layari laman Facebook beliau.
Cuma, ingin saya ketengahkan komen seorang ‘follower’ Facebook beliau yang berpendapat masalahnya ialah apabila ada parti terus main isu kaum dan agama. Beliau sebut nama parti yang dimaksudkan.
Menurut yang beri komen ‘dah tak perlu manifesto. Jauhlah negara akan ke hadapan malah akan ke belakang’. Menyedihkan kerana ada benar kata beliau.
Saya tidak setuju malah tidak suka (sekadar guna istilah lembut) dengan permainan kaum dan agama oleh parti politik. Tetapi saya faham. Saya ulangi. Tidak suka tetapi faham mengapa mereka berbuat demikan.
Meniup sentimen kaum dan agama jalan singkat dan mudah untuk dapat sokongan di peti undi. Tetapi yang saya tidak faham mengapa ada antara kita (mungkin ramai) yang termakan dan telan bulat-bulat retorik dihidangkan sang politikus?
Politikus akan jual apa yang mereka jual selagi ada yang beli apa yang mereka jual. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.