Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata Aminuddin Harun dan Loke Siew Fook boleh kukuhkan naratif PH bahawa pentadbiran stabil dan sederhana masih mendapat tempat.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, Linggi menonjolkan keberanian Menteri Besar Aminuddin Harun masuk ke kawasan disandang Barisan Nasional (BN), manakala Chennah pula menjadi medan Loke Siew Fook mempertahankan kerusi campuran.
Katanya, dua kerusi itu tidak wajar dibaca hanya sebagai pertarungan individu, tetapi gambaran lebih luas tentang hala tuju politik Negeri Sembilan menjelang PRU16.
Aminuddin sebelum ini lama bertapak di Sikamat, tetapi kali ini diletakkan PH di Linggi, kerusi yang disandang BN dan mempunyai majoriti pengundi Melayu.
“Langkah itu mempunyai logik politik kerana PH mahu menunjukkan Aminuddin bukan hanya pemimpin untuk kawasan selamat, tetapi tokoh negeri yang mampu diterima di kawasan lebih mencabar.
“Kehadiran Bersatu juga menjadikan persaingan lebih terbuka, kerana undi Melayu berpotensi berpecah, manakala PH boleh bergantung kepada gabungan sokongan bukan Melayu, pengundi sederhana dan rekod pentadbiran Aminuddin,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, jika Aminuddin menang, mesej politiknya besar kerana ia menunjukkan PH mampu menembusi kawasan tradisi BN melalui imej kepimpinan sederhana dan stabil.
Aminuddin berdepan penyandang Mohd Faizal Ramli daripada BN dan Zamri Said yang mewakili.
Chennah ujian politik sederhana
Di Chennah, Zaharuddin berkata Loke berdepan ujian berbeza kerana statusnya sebagai kawasan campuran dengan kira-kira 47% pengundi Melayu, 44% Cina, 7% Orang Asli dan 2% India, menjadikannya gambaran kecil politik pelbagai kaum di Malaysia.
Katanya, Loke sejak 2013 berjaya mengubah Chennah daripada kubu MCA kepada kerusi kukuh DAP, berasaskan khidmat kawasan, akses kepada pengundi dan kedudukannya sebagai pemimpin nasional.
“Chennah bukan lagi sekadar pertarungan tempatan. Ia referendum sama ada moderasi pelbagai kaum masih mampu mengatasi mobilisasi etnik.
“Kemenangan Loke akan mengukuhkan hujah pengundi kawasan campuran masih memberi nilai kepada prestasi, pengalaman dan politik sederhana,” katanya.
Loke akan mempertahankan kerusi itu dalam pertembungan dengan Siow Kong Choon yang mewakili BN.
Zaharuddin berkata, keputusan di Linggi dan Chennah akan membantu menentukan sama ada pengundi Negeri Sembilan mahu mengekalkan politik berasaskan prestasi, atau bergerak lebih kuat ke arah sentimen kaum dan identiti.
“Jika Aminuddin dan Loke menang, ia akan memberi isyarat bahawa politik prestasi masih mempunyai nilai,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.