Perdana menteri berkata kerajaan terbuka terima teguran membina dan rayu beri ruang untuk baiki kekurangan.

Anwar berkata, setiap kelemahan pentadbiran wajar ditegur secara membina agar dapat diperbaiki, sambil menegaskan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban rakyat dan memperkukuh ekonomi negara.
“Tegurlah saya. Berilah nasihat. Tetapi janganlah mengatakan kerajaan tidak melakukan apa-apa.
“Jika ada kelemahan, berilah teguran yang membina dan berilah ruang kepada kami untuk memperbaiki kekurangan tersebut,” katanya ketika berucap dalam program Kuala Pilah berselawat dan munajat.
Anwar juga berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah kos barangan dan kos sara hidup rakyat yang terus meningkat susulan tekanan ekonomi global ketika ini.
Katanya, antara usaha kerajaan adalah menetap harga minyak RON95 pada harga RM1.99 seliter walaupun terpaksa menanggung subsidi hingga RM40 bilion hingga RM45 bilion setahun.
“Sebab itu, setiap kali mengisi minyak ingatlah kerajaan menanggung sebahagian besar kos tersebut demi mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata matlamat pentadbirannya bukan sekadar melaksanakan dasar pembangunan, tetapi turut mengangkat martabat orang Melayu yang memerlukan pembelaan serta memperkasakan Islam.
“Matlamat kita ialah mengangkat martabat orang Melayu yang memerlukan pembelaan serta memartabatkan Islam melalui amal dan tindakan, bukan sekadar kata-kata,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.