`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Thursday, July 30, 2026

PRN N Sembilan: SPR laksana sistem OCR-VA rekod kehadiran pengundi

 Sistem OCR-VA dibangunkan khusus untuk tanda kehadiran pengundi dengan imbas maklumat pada kad pengenalan secara automatik.

Undi Awal PRN N9
Hasil pelaksanaan projek rintis OCR-VA pada PRN Negeri Sembilan akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti keberkesanan, kecekapan operasi serta potensi pelaksanaan lebih meluas pada pilihan raya akan datang, kata SPR.
SEREMBAN:
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan melaksanakan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) semasa PRN Negeri Sembilan Sabtu ini.

Setiausaha SPR Khairul Shahril Idrus berkata, sistem itu akan dilaksanakan di SMA Dato’ Klana Petra Maamor melibatkan Saluran 1 hingga 7 bagi DUN Ampangan sebagai usaha menambah baik pengurusan proses pilihan raya.

“Sistem OCR-VA dibangunkan khusus bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi di saluran mengundi melalui pengimbasan maklumat pada kad pengenalan secara automatik,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

“Penggunaan teknologi ini dijangka dapat mempercepatkan proses semakan dan pendataan kehadiran pengundi, mengurangkan kesilapan penandaan kehadiran secara manual serta meningkatkan kecekapan petugas kerani pengundian.”

Khairul Shahril menjelaskan inisiatif itu juga menyokong usaha pendigitalan proses pilihan raya dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah manual tanpa menjejaskan tatacara pengundian yang ditetapkan.

Beliau berkata, pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi dan mengemukakan kad pengenalan kepada petugas untuk tujuan semakan sebelum meneruskan proses pengundian mengikut prosedur yang ditetapkan.

“SPR memberi jaminan bahawa pelaksanaan sistem OCR-VA hanya melibatkan proses penandaan kehadiran pengundi dan tidak melibatkan proses pengundian atau perekodan pilihan pengundi.

“Justeru, kerahsiaan undi terpelihara sepenuhnya dan ia turut dibangunkan dengan mengambil kira aspek keselamatan maklumat dan perlindungan data peribadi pengundi,” katanya.

Khairul Shahril berkata, hasil pelaksanaan rintis ini akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti keberkesanan, kecekapan operasi serta potensi pelaksanaannya secara lebih meluas pada pilihan raya akan datang.

“SPR memohon kerjasama semua pengundi untuk memberikan kerjasama kepada petugas sepanjang pelaksanaan projek rintis ini demi memastikan urusan pengundian berjalan lancar, teratur dan efisien,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.