Apakah agaknya ada sesuatu mengenai Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja mengikut panggilan dalam loghat Perak hingga beliau mampu timbul dalam tenggelam?
Daripada seorang yang pernah diraikan selaku menteri besar Perak, kemudian hilang dari pandangan umum, kini beliau tampil semula dengan cara yang tidak mampu diabaikan ramai.
Seperti seekor kucing yang diumpamakan memiliki sembilan hayat, Peja mungkin tidak berbeza susulan kemenangannya sebagai seorang daripada tiga naib presiden Bersatu dalam pemilihan pada Sabtu meneruskan kelangsungan politiknya.
Jika hendak dipercayai cakap-cakap sesetengah orang yang mengandaikan Perikatan Nasional (PN) mampu kembali menjadi kerajaan selepas PRU16, maka Peja harus sudah terjamin tempatnya dalam Kabinet baharu kelak mengikut hipotesis berkenaan.
Kalau hendak bertahan lama dalam politik – juga berdasarkan kata orang – jangan terlalu tonjolkan diri untuk mengelak dari berada di barisan hadapan yang terdedah kepada tembakan musuh, baik dari luar mahupun dari dalam.
Barangkali itu yang menjadi pegangan Ahmad Faizal, 54, yang memilih untuk menjadi seorang pengikut dan penyokong yang setia tanpa ia mencalarkan egonya.
Sekalipun tidak mendapat undi tertinggi dengan 9,238 di kedudukan ketiga dalam perebutan jawatan naib presiden Bersatu pada Sabtu – di belakang dua penyandang terdahulu Radzi Jidin (11,690) dan Ronald Kiandee (11,295) – sekurang-kurangnya beliau masih terselamat dalam pertandingan enam penjuru itu.
Dalam pada itu, ada juga cakap-cakap andai kalah bertanding sekalipun, Peja akan tetap diberi salah satu jawatan lantikan oleh Presiden Muhyiddin Yassin sebagai membalas pengorbanan dan kesetiaannya kepada parti yang dilulus dan didaftarkan sepenuhnya pada 14 Januari 2017 itu.
Mengimbau perjalanannya menjelang pemilihan Bersatu kali ini, Peja menjaja naratif bahawa sejak bersetuju kepada ‘pelan kompromi’ Muhyiddin pada 13 Julai lalu untuk berundur setapak daripada jawatan timbalan presiden bagi memberi laluan kepada Hamzah Zainudin naik pangkat menjadi orang nombor dua parti, beliau bersedia terhadap apa sahaja kemungkinan.
“Secara jujur, orang kata… tahniah Peja, terima kasih kerana berjiwa besar, tak pernah ada orang macam ni, ketua kampung pun susah nak lepaskan jawatan, inikan pula timbalan presiden.
“Tapi bila masanya saya tengok keputusan mula keluar, rupa-rupanya susah nak menang naib presiden. Jadi kalaulah ditakdirkan saya tak terpilih, saya nak minta keluarga besar Tambun kita ‘chill’ saja, tiada masalah,” katanya berucap merasmikan persidangan Bersatu Tambun di Ipoh pada malam 2 Nov.
Muhyiddin sendiri sebelum ini bercerita bahawa Peja tawarkan diri untuk lepaskan jawatan parti sewaktu dicadang supaya beri laluan kepada Hamzah – kedudukannya lebih kanan selaku ketua pembangkang di Dewan Rakyat selain pengalamannya selaku setiausaha agung – dibandingkan beliau yang kalah kerusi Parlimen Tambun kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim pada PRU15.
Tidak salah jika Peja berasa seperti tidak dihargai khidmatnya. Tapi kata presiden Bersatu, Peja pada awalnya keliru dengan perancangannya untuk parti dan kemudian setuju mengisi satu kekosongan naib presiden selepas semuanya diperjelaskan.
Dalam soal ini, Muhyiddin juga sebenarnya tidak faham. Kata-kata Peja untuk melepaskan jawatan parti bukan didasarkan kepadanya yang merajuk tetapi lebih kepada kesediaannya berkorban untuk parti jika itu yang diperlukan.
Malah, Muhyiddin boleh dikata tidak menunaikan tawar-menawarnya. Sepatutnya beliau melakukan sesuatu untuk memastikan Peja dapat undi tertinggi dalam perebutan jawatan naib presiden bagi menjaga air muka beliau. Itu pun mujur beliau menang di tempat ketiga. Kalau kalah, tak tahulah apa kesudahannya tapi Peja nampaknya berhati besar.
“Saya fikir peluang kepada semua calon naib presiden sama rata kerana saya percaya semua berharap dipilih untuk menabur bakti, begitu juga saya. Tetapi apa juga keputusan, saya fikir kami perlu menerima dengan hati terbuka dan meneruskan usaha memberi khidmat bakti kepada parti dalam apa juga kapasiti.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah memperkuatkan parti. Jangan pula apabila kita tewas, kita melemahkan parti. Jadi, niat awal untuk menguatkan itu kita teruskan, apa juga keputusan terima dengan baik,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia sehari sebelum pemilihan.
Seperti sudah tertulis, ‘trio pelan kompromi’ menang naib presiden Bersatu manakala Ketua Penerangan Razali Idris, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abidin – ketiga-tiganya didakwa bekas ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melanggar petua presiden – berada di pihak yang tewas.
“Gandingan mereka ini merupakan formula terbaik ke arah kekuatan parti bersama-sama ahli MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi)“ kata Hamzah yang menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden menerusi hantaran di Facebook selepas keputusan diumumkan.
Harus benar seperti dikatakan Peja pada 14 Julai lalu bahawa sejarah perjalanannya dalam politik menunjukkan beliau bukan seorang pemimpin yang ‘gilakan’ kedudukan, sebaliknya bersedia untuk berkorban sekiranya ia demi kebaikan pentadbiran, negara dan parti.
“Apabila saya (ketika itu menteri besar) gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya di sidang Dewan Undangan Negeri Perak, saya tidak buat bising kerana saya memikirkan kestabilan kerajaan negeri lebih penting berbanding kedudukan saya.
“Apabila saya bukan lagi menteri besar, saya juga tidak menuntut presiden parti ketika itu (Muhyiddin) untuk meletakkan saya sebagai menteri,” katanya.
Cuma apa yang tidak disebutkannya ialah Muhyiddin melantiknya sebagai penasihat khas kepada perdana menteri yang bertaraf menteri pada 5 Ogos 2021. Pelantikannya dalam hal-ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi ketika itu menimbulkan kritikan warga maya yang menganggap ia tidak perlu kerana sudah ada menteri dengan portfolio berkenaan.
Namun, sudah rezekinya apabila Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi perdana menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021, Peja dinamakan dalam Kabinet selaku menteri belia dan sukan sehingga Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022 untuk memberi laluan kepada PRU15.
Sebagai seorang untuk semua musim – pernah berlakon filem ‘Buntat’ arahan Sabri Yunus ketika berjawatan menteri besar Perak di samping berkolaborasi dengan Jamal Abdillah dan Shiha Zikir untuk lagu ‘Moh Beraya‘–Peja menyerlahkan diri sebagai ‘survivor’ bukan hanya dalam politik, malah sebarang keadaan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.