`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 24, 2024

RM1 bilion zakat dikutip di wilayah persekutuan tahun lepas

 

Free Malaysia Today
Kutipan zakat di wilayah-wilayah persekutuan dari Januari hingga November tahun ini melebihi RM700 juta, manakala agihan zakat hampir RM880 juta, menurut MAIWP. (Gambar Bernama)

LABUAN
Sebanyak RM1 bilion zakat berjaya dikutip di seluruh wilayah persekutuan pada 2023, peningkatan sebanyak 11% berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, kutipan dari Januari hingga November tahun ini melebihi RM700 juta manakala agihan zakat setakat ini hampir RM880 juta, mengatasi angka kutipan.

“Ini pencapaian luar biasa, di Labuan sahaja, MAIWP mengagihkan RM68.6 juta bantuan setakat Oktober,” katanya pada penutup Karnival Ulang Tahun MAIWP ke-50 peringkat Labuan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan.

Syed Kamarulzaman berkata, MAIWP telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi membantu masyarakat kurang berkemampuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, termasuk menyediakan bantuan pengajian bagi peringkat diploma, ijazah dan kemahiran vokasional kepada anak-anak asnaf.

“Pendidikan dan kemahiran mampu mengubah kehidupan anak-anak ini untuk masa depan yang lebih baik, insyaAllah,” katanya.

Beliau berkata, selain bantuan yuran dan elaun pengajian, MAIWP memperkenalkan program Gerobok Rezeki Universiti dengan peruntukan RM1 juta untuk memastikan pelajar universiti mendapat akses kepada bekalan makanan.

Syed Kamarulzaman berkata, sebanyak RM3.4 juta daripada dana zakat pula diperuntukkan bagi Skim Bantuan Komputer Riba yang memanfaatkan 110 pelajar di Labuan.

“Usaha ini amat membantu meringankan beban keluarga dan ibu bapa yang tidak dapat menyediakan peralatan pembelajaran selain menyokong perjalanan akademik para pelajar,” katanya.

Selain itu, katanya, MAIWP juga memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan dengan membantu isi rumah asnaf keluar daripada kemiskinan seterusnya menjadi pembayar zakat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.