K Ramalingam tepis dakwaan pemimpin Umno Sharkar Shamsuddin yang mendakwa hasrat parti itu untuk keluar BN tidak cermin suara majoriti akar umbi.

Beliau sebaliknya menegaskan usul itu dicapai dalam mesyuarat agung tahunan MIC, bulan lalu sekali gus menepis dakwaan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Sharkar Shamsudin.
“Memang tak munasabah dakwaan sedemikian. Tanpa persetujuan ahli, macam mana kita boleh buat keputusan itu? Sudah tentu tak boleh.
“Kita ada 3,000 ketua cawangan dan hampir 300,000 ahli. Tiada seorang pun di antara mereka yang membantah, semua orang setuju,” katanya kepada FMT.
Semalam, FMT melaporkan dakwaan Sharkar yang ramai akar umbi MIC tidak mahu keluar daripada BN di sebalik spekulasi parti itu mungkin meninggalkan gabungan.
Beliau turut mencadangkan MIC membuat pengundian kerana perkara itu tidak adil kepada ahli tidak bersetuju dengan keputusan terbabit sedangkan hanya pemimpin atasan yang ingin berbuat demikian.
Dalam pada itu, Ramalingam turut menyifatkan dakwaan itu sebagai satu bentuk campur tangan urusan dalaman MIC berikutan rasa bimbang terhadap kekuatan parti itu yang masih utuh.
“Sokongan orang Melayu terhadap Umno kini mungkin hanya sekitar 20%,” katanya sambil menambah kejatuhan BN pada 2022 berpunca daripada kemarahan orang Melayu terhadap gaya politik Umno sendiri dan bukannya disebabkan MIC.
“Saya rasa Umno sangat lemah sekarang. Mohon cermin diri sendiri dan fokuslah untuk bina semula parti,” katanya.
Ahad lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi memberi peringatan kepada parti komponen yang berhasrat meninggalkan gabungan supaya membuat pertimbangan mendalam kerana mereka mungkin tidak diterima semula pada masa depan.
Walaupun Zahid tidak menyatakan parti komponen BN yang dimaksudkan, kenyataan dibuat di tengah spekulasi MIC dan MCA mungkin meninggalkan gabungan itu.
Umno, MCA dan MIC adalah anggota pengasas Parti Perikatan sebelum merdeka, yang secara rasmi menjadi BN pada 1974.
MIC berada di persimpangan sama ada mahu meninggalkan BN, malah sudah menghantar pertanyaan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan menyertai gabungan pembangkang itu. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.