`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, December 16, 2025

PTPTN perkasa literasi kewangan pelajar melalui ‘Smart Next Gen’

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu beri pendedahan awal kepada penuntut mengenai perancangan simpanan dan pengurusan hutang menjelang alam kerjaya.

Sesi sembang santai Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim bersama pempengaruh Athirah Kamaruzzaman dan Muhammad Noor Zakaria.
PETALING JAYA:
 Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan usaha memperkasa kefahaman pengurusan kewangan dalam kalangan penuntut melalui penganjuran program ‘Smart Next Gen’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam kenyataan, PTPTN berkata program itu sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong pembangunan akademik dan kebajikan penuntut institusi pendidikan tinggi.

Katanya, Smart Next Gen memberi penekanan kepada perkongsian ilmu dan pengalaman dalam pelbagai bidang, selain membantu penuntut membuat persediaan awal menghadapi alam kerjaya selepas tamat pengajian, termasuk pendedahan kepada literasi kewangan.

“Antara fokus utama program ialah perancangan simpanan dan pengurusan hutang bagi membentuk tabiat kewangan yang lebih mampan dalam kalangan pelajar.

“Program itu merupakan kesinambungan kepada beberapa inisiatif pemerkasaan pelajar dilaksanakan sebelum ini, termasuk program literasi kewangan dan persediaan kerjaya pada 2022 dan 2023 serta program Campus To Career with PTPTN pada 2024,” katanya.

Program itu turut menampilkan sesi perkongsian oleh pakar motivasi dan panel berpengalaman yang memberi panduan praktikal kepada penuntut, selain sesi sembang santai bersama Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim dan pempengaruh jemputan.

Norliza dalam kenyataan sama berkata, program itu bertujuan membantu penuntut membina asas kewangan kukuh serta mempersiapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan relevan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Beliau berkata, PTPTN akan terus komited melaksanakan program CSR dalam bidang pendidikan selari usaha pembangunan anak bangsa dan peranan agensi itu dalam menyokong ekosistem pendidikan tinggi negara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.