`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, December 16, 2025

Usahawan hartanah nafi dakwaan jadi ‘scammer’

Mohamad Azlan Abdullah menegaskan isu itu timbul susulan proses pemulangan wang pembatalan pembelian tanah yang lama melibatkan prosedur perundangan dan perakaunan.

Mohamad Azlan Abdullah Ali
Minggu lalu, Mohamad Azlan Abdullah membuat laporan polis terhadap laporan palsu ke atasnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Seorang usahawan hartanah menafikan dakwaan beliau seorang ‘scammer’, sebaliknya menegaskan isu itu timbul susulan proses pemulangan wang pembatalan pembelian tanah yang lama melibatkan prosedur perundangan dan perakaunan.

Mohamad Azlan Abdullah atau lebih dikenali Azlan Al Amin berkata tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah menjejaskan reputasi dirinya serta menghalang orang ramai daripada memiliki hartanah tanpa proses rumit.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah dan tomahan palsu yang boleh menjejaskan reputasi serta perniagaannya.

“Tujuan saya membantu orang ramai memiliki hartanah sendiri, bukan menipu sesiapa.

“Dalam keadaan ramai mahu memiliki rumah atau tanah, timbul pula fitnah daripada individu yang tidak senang melihat kejayaan orang lain,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, Azlan membuat laporan di Balai Polis Jerteh, Terengganu, terhadap seorang lelaki didakwa mengemukakan laporan palsu berhubung urus niaga hartanah melibatkan tanah milik bapa individu itu.

Lelaki itu sebelum ini membuat laporan mendakwa Azlan menipu dalam transaksi berkenaan, menyebabkan usahawan itu disiasat Bahagian Komersial IPD Setiu.

Azlan berkata, beliau memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan, sebelum kes itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Mengulas lanjut kes berkenaan, beliau berkata kelewatan pemulangan wang kepada sebahagian pelanggan berlaku kerana jumlah yang besar serta keperluan mematuhi prosedur sah yang ditetapkan.

“Kelewatan berlaku kerana proses pemulangan wang, terutamanya bagi pembatalan melibatkan amaun besar, memerlukan masa untuk diselesaikan mengikut prosedur yang betul,” katanya.

Azlan menegaskan perniagaannya dijalankan secara sah dan telus, selain mematuhi undang-undang, sambil menolak dakwaan beliau mengabaikan tanggungjawab terhadap pelanggan.

Beliau turut mempertahankan konsep jual beli tanah secara ansuran yang diperkenalkan syarikatnya, yang menurutnya bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah, peniaga kecil dan individu tanpa slip gaji untuk memiliki hartanah.

“Inisiatif ini membuka peluang pemilikan aset kepada mereka yang selama ini sukar mendapat pembiayaan melalui saluran konvensional,” katanya.

Menurut Azlan, ramai pembeli yang membuat pembatalan telah menerima wang masing-masing, manakala selebihnya masih dalam proses penyelesaian seperti termaktub dalam perjanjian.

“Semuanya berjalan mengikut perjanjian. Jika berlaku kelewatan, saya maklumkan lebih awal kepada pelanggan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.