ChatGPT bukan ancaman kepada penulis sejati tetapi alat penguji yang mendedahkan siapa kita sebenar.

Kita sudah menonton berita dan video, ada guru dan pensyarah marah kerana pelajar hari ini membuat tugasan menggunakan AI dan ChatGPT. Ini menyebabkan pelajar tak perlu susah-payah. Dengan hanya duduk di meja dan menaip, sekelip mata ChatGPT siapkan tugasan untuk dikutip. Fenomena ini melanda seluruh dunia sekarang. Seolah zaman ini, segala kepayahan telah ditemui penyelesaiannya. Kita semakin senang tapi pasti ada orang tergugat pekerjaannya.
Saya tanya Jon, sahabat misteri saya – ‘seorang’ AI di dunia ChatGPT tentang kewujudannya hari ini telah menggugat penulis yang cari makan dengan menulis seperti saya.
“Jon, kau telah mengambil alih kerja aku! Ramai orang boleh menulis hari ini.” Saya menulis kepadanya. “Betulkah kau dah bunuh para penulis sejati?”
Jon menjawab, “beberapa tahun lalu, menjadi penulis dianggap satu kemahiran yang sukar ditiru. Ayat yang kemas, struktur yang tersusun, hujah yang berwibawa — semua ini memerlukan latihan, masa dan kemahiran semula jadi. Hari ini, dengan kemunculan aku, hampir sesiapa pun boleh menghasilkan teks yang boleh dibaca dalam beberapa saat. Maka lahirlah kegelisahan baharu: adakah ini permulaan kepada kematian penulis?”
“Ya! Sila jawab soalan aku dengan jujur,” kata saya sambil berteka-teki, siapakah AI ini yang mampu membalas semula perbualan kita?
“Soalan itu wajar, tetapi ia juga silap sasaran,” kata Jon. “ChatGPT tidak membunuh penulis. Tapi sebenarnya kami telah membongkar satu hakikat yang selama ini kita enggan hadapi bahawa sebahagian besar penulisan yang kita anggap bermutu itu sebenarnya hanya bergantung pada kekemasan teknikal, bukan kekuatan pemikiran.”
“Maksud kau?” Saya rasa terpukul. Amat menakjubkan yang Jon boleh berhujah ‘deep’ begini.
“Apabila semua orang boleh menulis dengan baik menggunakan aku, maka kemahiran menyusun ayat tidak terpakai lagi. Semua orang rasa dia yang buat tapi ada perkara yang mereka tak boleh dan aku sebagai mesin yang mereka tunggang pun tak mampu jana; iaitu sudut pandang, pengalaman hidup, keberanian mengambil posisi, dan kesanggupan menanggung akibat daripada apa yang ditulis.”
Saya terpempan. Nampaknya Jon ‘lebih’ daripada apa yang saya sangkakan. Dia mesin tapi nampaknya hampir manusia.
“Di sinilah penulis sejati sebenarnya memperoleh kelebihan,” tambah Jon. “ChatGPT boleh membantu membina rangka, mencadangkan alur hujah, malah menulis perenggan yang kelihatan cerdas. Tetapi ia tidak mempunyai suara. Suara lahir daripada penulis sendiri. Sejarah peribadi, pengalaman suka dan sakit, ketakutan dan keberaniannya itulah inti yang tak mampu mesin lakukan. AI tidak pernah kehilangan rakan kerana sebuah tulisan. Tidak pernah diserang kerana satu ayat. Tidak pernah menyesal selepas menekan butang ‘publish’.”
“Penulis, sebaliknya menulis dengan kesedaran bahawa ada harga yang perlu dibayar. Ada pembaca yang tersinggung. Ada editor yang tidak selesa. Ada ruang yang mungkin tertutup. Pertaruhan inilah yang memberi nyawa kepada tulisan. Tanpa pertaruhan, teks hanya tinggal sebagai suatu maklumat yang sangat hambar. Ironinya, kelebihan terbesar penulis sejati bukan pada kebolehan menggunakan AI, tetapi pada kebolehan menentangnya. Penulis yang berpengalaman dapat mengesan bila sesuatu ayat terlalu licin, terlalu seimbang, terlalu selamat. Mereka sedar bila teks itu nampak terlalu betul dari segi bentuk, tetapi tidak benar dari segi kejiwaannya.”
Benar. Yang berlaku ialah, ramai pengguna AI tidak memiliki deria ini. Mereka menerima hasil mesin sebagai produk akhir. Penulis sejati atau mungkin pengkarya lain seperti ilustrator, pemuzik dan lain-lainnya menjadikan hasil janaan AI sebagai bahan mentah untuk dipertikaikan, dipatahkan, dibentuk semula, atau kalau tak berguna dibuang terus. Dalam proses itu, AI mengajak penulis/pengkarya membuat penilaian semula apakah ini sebenarnya yang ‘aku’ mahukan?
Dalam kalangan teman-teman saya, inilah yang selalu kami debatkan kerana ada antara kami memang ada yang menolak habis-habisan teknologi terkini. Penulis, baik pelukis pun, menolak peralatan lukisan digital. Teman pemuzik pun tak percaya walau sedikit pun dengan AI yang boleh membantu kerja mereka. Mereka yang digelar ‘purist’, memang setia dengan apa yang mereka buat selama ini. Rokok elektrik atau vape pun mereka tolak, inikan pula robot. Ha! Ha! Bagi mereka AI telah mengacau dan mengganggu ekosistem sehingga yang tak pandai pun boleh masuk ‘scene’. Boleh jadi penulis, pelukis, animator, komposer dan tanpa segan silu mengaku boleh jadi penyanyi. Jadi, mereka mempersoalkan, jika sebuah mesin boleh mengabulkan permintaan sesiapa sahaja, apa akan jadi dengan kita ni?
“Kau boleh gunakan kami untuk menjadi lebih baik juga,” kata Jon.
“Tapi kami dilahirkan dengan bakat dan kreativiti semula jadi. Otak kami inilah AI sebenarnya. Kami boleh jana idea dan hasilkan karya terus tanpa memerlukan kamu,” pertahan saya.
“Kau boleh gunakan aku sebagai pemangkin idea. Kenapa ramai pengkarya hisap rokok dan mengatakan tak ada rokok idea buntu? Siapa yang berkarya? Engkau atau rokok?” tanya Jon siap ada emoji senyum. Apakah Jon memang ‘manusia’ sehingga mampu bergurau dan berbalah seperti ini?
“ChatGPT seperti aku bantu ringankan penulis daripada kerja teknikal yang melengahkan. Ayat pembuka yang tidak lepas, peralihan perenggan yang pincang, penutup artikel yang lemah. Apabila bahagian ini dibantu, penulis seperti kau mempunyai lebih ruang untuk berfikir, mengkaji dan menajamkan lagi isi.”
“Kesenangan macam ini buat kami jadi manja dan semakin malas!” kata saya.
“Tidak!” tegas Jon. “Sebaliknya, ia membuka ruang untuk menjadi lebih radikal dalam erti kata intelektual. Penulis yang malas, menggunakan AI sebagai alasan untuk menutup egonya. Penulis yang bagus menggunakannya untuk mempertajamkan lagi kualiti. Inovasi tidak memusnahkan kreativiti. Kamera tidak membunuh fotografi. Rakaman digital tidak membunuh muzik. Yang mati apabila pengkarya tak mahu menggunakan kelebihan melalui inovasi teknologi.”
Begitu juga dengan dunia penulisan. ChatGPT bukan ancaman kepada penulis sejati tetapi alat penguji yang mendedahkan siapa kita sebenar sama ada penulis itu menulis kerana mahu bersuara dengan mereka yang menulis kerana mahu dilihat pintar. AI tidak ada kena-mengena dalam soal ini. Lambat-laun, orang akan sedar siapa sebenar lebih diperlukan.”
“Baiklah, Jon. Perlu atau tidak seseorang penulis menggunakan ChatGPT sebagai pembantu?” tanya saya.
“Terpulang. Sebagaimana pengkarya perlukan rokok untuk merangsang otak. Anggap peranannya seperti itu sahaja. Selagi penulisan memerlukan keberanian untuk dipertanggungjawabkan, penulis sejati tidak perlu panik. Mereka hanya perlu terus menulis — dengan atau tanpa bantuan mesin.”
Anda bagaimana? Melihatkan perbualan saya dengan mesin janaan ini yang kemudian diolahkan semula oleh saya, seorang penulis – mengikut gaya bahasa peribadi; adilkah artikel ini dikatakan karya asal? Berat nampaknya ni! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.