Syaza Shukri berkata langkah itu berisiko cetus pertembungan tiga penjuru yang hanya menguntungkan PAS.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata jika Umno memilih tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), langkah itu berisiko mencetuskan pertembungan tiga penjuru, akhirnya memecahkan undi sekali gus memberi kelebihan kepada PAS.
“Dalam konteks Kedah, realitinya lawan utama Umno ialah PAS, bukan PKR atau DAP. Jika berlaku tiga penjuru, Umno mungkin berada dalam kedudukan paling tertekan kerana sokongan PAS dilihat semakin stabil,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, yang menyatakan parti itu bersedia ‘bertarung habis-habisan’ sekiranya rakan dalam kerajaan perpaduan memilih pendekatan persaingan terbuka.
Shaiful dilaporkan berkata, kenyataan Ketua Pemuda PKR Kamil Munim menyeru jentera parti bersiap sedia tanpa memikirkan soal kerjasama, mengesahkan apa yang didakwanya sebagai pendirian sebenar PKR di Kedah.
Menerusi satu video dikongsikan, Kamil dilaporkan berkata PKR perlu bersiap sedia dari sekarang dengan memperkukuh kekuatan jentera tanpa terlalu memikirkan soal kerjasama dengan pihak lain.
Menurut Syaza, kenyataan supaya parti bersedia menghadapi pilihan raya walaupun rundingan belum dimuktamadkan adalah sesuatu yang normal dalam politik.
Katanya, setiap parti sememangnya perlu membuat persiapan awal walaupun rundingan kerjasama masih berjalan.
“Namun, itu tidak bermaksud pintu rundingan sudah tertutup. Jika Umno menggunakan alasan itu untuk mengukuhkan naratif bergerak solo, mereka perlu menilai semula kekuatan sebenar di Kedah.”
Sementara itu, pemerhati politik A Aziz Azizam dari Universiti Teknologi Mara, berkata sebarang kenyataan berbentuk ugutan untuk keluar parti atau menarik sokongan perlu ditangani secara berhati-hati dan berstrategi.
Katanya, jika kenyataan sedemikian terlalu kerap diulang, ia bukan sahaja hilang kesan, malah boleh menjejaskan kredibiliti parti itu sendiri.
“Dalam konteks politik Kedah, sejarah membuktikan pembangunan dan kemajuan negeri ini banyak dipacu oleh kepimpinan Umno dan PAS. Umno khususnya mempunyai akar umbi yang panjang serta struktur organisasi kukuh di peringkat bahagian dan cawangan.
“Justeru, Umno Kedah seharusnya mempunyai keyakinan tinggi terhadap kekuatan tradisi dan sokongan asas yang dimiliki tanpa perlu terlalu reaktif dalam mengeluarkan kenyataan berbentuk tekanan politik,” katanya.
Pada PRN 2023, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH hanya menang tiga kerusi dengan dua DUN dimenangi PKR (Bakar Arang dan Sidam), manakala satu DAP (Kota Darul Aman).
Perikatan Nasional (PN) diketuai PAS pula menang 33 kerusi, menyaksikan Sanusi Nor meneruskan tugas sebagai menteri besar untuk penggal kedua. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.