`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, February 15, 2026

Raja Muda Selangor tak minat jawatan presiden FAM

 Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin mahu menumpukan perhatian kepada Persatuan Bola Sepak Selangor.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin berkata banyak yang baginda mahu capai bersama Persatuan Bola Sepak Selangor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin tidak berkenan untuk mengisi kekosongan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan peletakan jawatan beramai-ramai ahli jawatankuasa eksekutif (exco) badan induk itu.

Bercakap pada majlis pelancaran buku ‘Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor’, Tengku Amir Shah berkata baginda mahu menumpukan perhatian kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sahaja.

“Oh tidak, saya tidak berminat (jawatan Presiden FAM). Saya berminat dengan FAS dan banyak yang kita mahu capai buat masa ini,” kata baginda yang dipetik Bernama sebagai berkata.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis itu.

Tengku Amir Shah Selangor FC melaksanakan penstrukturan semula bagi memperkasakan organisasi dan pembangunan akar umbi daripada peringkat sekolah dan belia sehingga pasukan utama.

Baginda yang juga pengerusi Selangor FC berkata langkah itu bertujuan memastikan sistem bola sepak negeri berfungsi secara menyeluruh dan berkesan di samping memastikan setiap keputusan dibuat demi kemajuan sukan tersebut dan bukan untuk kepentingan lain.

Terdahulu, CEO Kelantan The Real Warriors FC, Irwan Rizal menamakan tiga tokoh yang layak untuk menerajui FAM.

Tiga tokoh tersebut adalah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, dan Tengku Amir Shah.

Irwan berkata, ketiga-tiga keluarga diraja itu memiliki aura unik dan pengaruh, bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.

Minggu lalu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Megat D Shahriman Zaharudin sekali lagi menyatakan minat menerajui FAM.

FMT melaporkan, bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Alex Soosay, yang juga merupakan bekas pentadbir di peringkat kebangsaan, pemain, dan jurulatih – mencadangkan Sultan Abdullah untuk tampil menerajui FAM. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.