`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, March 19, 2026

Hati-hati berbelanja depani ketidaktentuan, titah Sultan Selangor

 Sultan Sharafuddin Idris Shah pesan agar rakyat bersedia dengan sebarang kemungkinan ekoran konflik Asia Barat.

sultan selangor
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ambil maklum perkembangan semasa pada peringkat global, khususnya konflik dan peperangan yang beri kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat agar lebih berhati-hati dalam berbelanja pada musim perayaan dan bersedia dengan sebarang kemungkinan susulan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.

Dalam perutusan sempena Aidilfitri 1447 Hijrah, Sultan Sharafuddin bertitah, langkah itu perlu diambil bagi memastikan masyarakat mampu mendepani sebarang ketidaktentuan, khususnya kesan terhadap ekonomi.

“Beta mengambil maklum tentang perkembangan semasa di peringkat global khususnya konflik dan peperangan yang berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat yang memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Beta menyeru agar setiap rakyat bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’,” titah baginda dalam perutusan yang dimuat naik dalam hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office.

Dalam perutusan itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan umat Islam agar terus memperkukuh kesatuan dan perpaduan, serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri.

Baginda juga berharap semua pihak daripada peringkat pemimpin, ahli politik hingga rakyat biasa, memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah dengan limpah kurniaNya dapat kita menyambut Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah dalam suasana yang aman dan sentosa di Selangor ini.

“Setelah sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan, tibalah Syawal yang diraikan dengan penuh rasa syukur, kegembiraan serta semangat ukhuwah.

“Kita seharusnya bersyukur dengan segala nikmat dikurniakan Allah namun kita tidak boleh leka dan lalai .. .jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran,” titah baginda.

Menerusi perutusan itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir serta batin kepada seluruh rakyat di Selangor khususnya, dan Malaysia amnya.

Baginda turut berharap agar sambutan Aidilfitri membawa keberkatan, kebahagiaan serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.