Di negara ini terdapat masalah 'kurang faham' yang serius dI kalangan mereka yang memegang amanah rakyat dan kecenderungan mereka untuk membelanjakan dana awam untuk membantu orang luar, khususnya pelarian dsbnya.
Mereka menampilkan diri sebagai wira yang ingin membantu dan memperjuangkan nasib golongan yang terlibat pelbagai konflik dan peperangan yang tanpa putus di negara tertentu. Ia itu golongan yang pada kesudahannya pasti menjadi pelarian dan orang yang kehilangan tempat tinggal. Dan selalunya wira-wira yang ingin membantu orang yang kurang bernasib menjadikan agama sebagai alasan (saya tidak akan sebut nama sebarang agama) yang kononnya “membimbing” mereka untuk menyalurkan wang kepada golongan yang terperangkap dalam konflik tanpa putus itu.
Lalu mereka mengadakan simposium dan conference yang berteraskan agama dan kemanusiaan untuk menganjurkan “tanggungjawab membantu dan melindungi pelarian serta orang yang kehilangan tempat tinggal” — tetapi semuanya dengan menggunakan dana awam.
Agamawan, ahli akademik, pembuat dasar, wakil kerajaan dan masyarakat sivil akan berkumpul untuk membincangkan bagaimana membelanjakan wang yang dikutip daripada orang lain untuk tujuan sedekah, sementara mereka pula mendapat publisiti dan jadi tumpuan media. Maka mereka jadi hero pada pandangan umum tetapi dengan membelanjakan dana awam.
Soalan yang patut ditanya ialah mengapa negara seperti Pakistan, Bangladesh, Mali atau Mauritania tidak mampu menyumbang bantuan kewangan kepada kumpulan pelarian? Mengapa Bangladesh atau Mali tidak boleh berkata, “hantarkan sebahagian pelarian anda kepada kami, kami akan menjaga mereka”? Jawapannya mudah — negara-negara ini adalah negara miskin. Mengapa mereka miskin? Kerana rakyat mereka kurang berpendidikan, tidak bekerja keras, produktiviti ekonomi mereka rendah dan sering bertelagah sesama sendiri. Oleh itu kerajaan di negara mereka tidak dapat mengutip cukai yang mencukupi daripada rakyat untuk menganjurkan simposium dan persidangan serta membincangkan mengapa mereka perlu membelanjakan dana awam hasil cukai untuk membantu orang lain di negara lain.
Namun di negara kita pula, kita bernasib baik kerana terdapat jutaan rakyat yang berpendidikan, mahir dalam perniagaan, manufacturing dan eksport, serta bekerja keras menjalankan tugas mereka, lalu membayar cukai yang lumayan kepada kerajaan. Seterusnya kerajaan pun mampu menggunakan hasil cukai tersebut dan membelanjakannya sama ada dengan bijak atau dengan kurang bijak.
Di negara kita, rakyat semua kaum dan agama membayar cukai. Tetapi kutipan cukai korporat adalah sangat besar. Cukai korporat dibayar oleh syarikat dan perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki dan diurus oleh pelbagai kaum.
Saya ingin membuat sedikit cadangan. Cukai yang dikutip daripada rakyat Malaysia sepatutnya digunakan untuk manfaat rakyat Malaysia — kesemuanya. Jika sesiapa ingin menghulurkan bantuan kepada orang lain di luar negara, silakan. Tetapi gunakanlah wang sendiri. Bukankah iini cadangan yang baik dan wajar? Bagaimana pula sesuatu golongan itu boleh dianggap dermawan jika mereka menggunakan wang orang lain untuk disalurkan kepada pihak lain di negara lain?
Sebagai contoh, katakan saya ingin menderma duit. Tetapi saya mengambil wang daripada poket anda dan kemudian saya dermakan duit anda itu kepada orang lain di luar negara. Saya pula menjadi hero, yang mendapat perhatian media dan publisiti sebagai seorang yang prihatin dan dermawan. Pada hakikatnya, saya tidak menggunakan wang sendiri — saya menggunakan wang yang saya ambil daripada kocek anda.
Lepas itu saya mengadu bahawa itulah tuntutan agama pula. Banyak cantik kan.
The views expressed are those of the writer and do not necessarily reflect those of MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.