Syed Zainal Abidin Syed Tahir berkata, orang Melayu tidak boleh terus salahkan sistem luaran semata-mata atas kesukaran ekonomi dihadapi.

Syed Zainal, bekas ketua pegawai eksekutif Proton dan pengarah eksekutif Perodua, berkata segelintir masyarakat Melayu masih mengekalkan ‘mentaliti menunggu bantuan’, satu sikap yang mesti digantikan dengan inisiatif sendiri.
Berucap pada sesi meja bulat Musyawarah Nasional mengenai isu-isu Melayu, Syed Zainal berkata, orang Melayu perlu berani.
“Kejarlah apa sahaja yang anda mahukan. Jangan tunggu, ini yang diajar oleh ayah saya,” katanya.
Syed Zainal yang kini pengerusi bukan eksekutif Dagang NeXchange Bhd percaya, orang Melayu bukan sekadar mencari ‘pemberian percuma’ tetapi peluang yang adil untuk bersaing dan berjaya.
Katanya, orang Melayu tidak patut terus menyalahkan sistem luaran semata-mata atas kesukaran ekonomi mereka, tanpa berdepan dengan kelemahan dan kekurangan komuniti itu sendiri.
“Jika kita kata kita rasa tak senang (dengan kelemahan kuasa ekonomi orang Melayu), saya rasa tidak lengkap jika kita tidak muhasabah diri.
“Kita mesti sedar, kita juga ada kelemahan. Muhasabah diri sangat penting sebelum melangkah ke hadapan,” kata Syed Zainal.
‘Minda minoriti’ dalam kalangan orang Melayu
Dalam perkembangan berasingan, penganalisis politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Zainal Abidin Sanusi berkata, sebahagian besar wacana politik nasional tidak mencerminkan kebimbangan sebenar yang dirasai oleh orang Melayu pada peringkat akar umbi.
Beliau berkata, bukan semua perkara yang ‘tular’ di media sosial benar-benar menggambarkan sentimen di lapangan.
Zainal juga berkata, orang Melayu sering berdepan dengan cabaran dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘minda minoriti’, walaupun mereka kumpulan majoriti di Malaysia.
“Kita sedia tahu kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, dan Raja-Raja Melayu di negara ini, tetapi ramai antara kita bersikap apologetik (dalam hal-hal ini).
“Orang Melayu ini majoriti tetapi kita berfikir, berbincang dan bertindak balas terhadap isu-isu dengan minda minoriti,” katanya.
Sidang meja bulat itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan menghimpunkan ahli politik, ahli akademik serta tokoh industri bagi membincangkan hala tuju masyarakat Melayu di tengah-tengah kebimbangan mengenai isu ekonomi, kepimpinan dan identiti. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.