Menteri Wilayah Persekutuan berkata, waktu operasi baharu itu dilaksana dengan mengambil kira pola penggunaan komuniti, khususnya golongan bekerja dan warga emas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, antara taman terlibat termasuk Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Metropolitan Kepong, Taman Tasik Permaisuri, Taman Bukit Jalil, Taman Tasik Menjalara, Taman Pudu Ulu, Taman Rekreasi Alam Damai, Taman Tasik Ampang Hilir dan Taman Tasik Danau Kota.
“Waktu operasi bagi Taman Botani Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa turut dilanjutkan sehingga 12 tengah malam pada setiap Jumaat dan Sabtu bagi membolehkan orang ramai beriadah pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelaksanaan waktu operasi baharu itu mengambil kira pola penggunaan komuniti, khususnya golongan bekerja, warga emas serta mereka yang memilih waktu awal pagi untuk beriadah dalam suasana lebih selesa dan kurang sesak.
Tambahnya, aspek kebersihan taman, pencahayaan kawasan, penyelenggaraan tandas awam, kawalan keselamatan serta penyelarasan petugas lapangan turut diberi perhatian bagi memastikan kemudahan awam dapat digunakan dengan selesa dan selamat.
Dalam pada itu, Hannah berkat, beberapa promenade, padang awam dan taman di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) turut dibuka seawal 5.30 pagi, termasuk Promenade Persiaran Perdana Presint 2 dan Padang Awam Presint 9 di Putrajaya, serta Padang Awam Dataran Labuan dan Taman Botani Labuan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.