`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, May 9, 2026

Dah jangka kena pecat, kata bekas Adun Bersatu

 Bagaimanapun, Adun Sungai Tiang Abdul Razak Khamis sedikit kesal tak dipanggil lembaga disiplin untuk beri penjelasan.

Abdul Razak Khamis
Adun Sungai Tiang Abdul Razak Khamis berkata status beliau kini adalah Adun Bebas yang menyokong Perikatan Nasional di DUM Kedah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Adun Sungai Tiang Abdul Razak Khamis berkata beliau sudah menjangka dipecat Bersatu tetapi sedikit kesal apabila tidak dipanggil lembaga disiplin untuk memberi penjelasan mengenai salah laku yang didakwa dilakukannya.

Razak yang juga timbalan speaker DUN Kedah berkata beliau sebelum ini menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin menuntut penjelasan berhubung salah laku yang didakwa dilakukannya apabila menyokong bekas timbalan presiden Hamzah Zainuddin.

“Bagaimanapun, saya sedikit kesal apabila tidak dipanggil untuk diberi peluang memberi penjelasan dalam prosiding bersama lembaga disiplin kerana saya hendak tahu siapa yang membuat aduan terhadap saya.

“Apapun saya reda dengan keputusan ini dan sedar surat tunjuk sebab yang diterima sebelum ini sekadar formaliti, kerana tujuan sebenar mereka adalah mahu memecat saya,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata.

Katanya, buat masa ini beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu merayu atau tidak kerana mahu berbincang dengan rakan-rakan lain yang turut menerima nasib sama.

Razak berkata, susulan keputusan itu juga, status beliau kini adalah Adun Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di DUN Kedah.

Beliau juga menyerahkan kepada Menteri Besar Sanusi Nor mengenai kedudukannya sebagai timbalan speaker DUN negeri, berikutan pelantikan itu dibuat pada Sidang DUN.

Semalam, lembaga disiplin Bersatu memecat keahlian dua Adun di Kedah, dan menggantung tujuh termasuk lima Ahli Parlimen.

Lembaga menyatakan mereka melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli, menurut notis dilihat FMT, ditandatangani Pengerusi Radzi Manan.

Selain Razak, Adun yang dipecat keahlian adalah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad.

Ahli Parlimen yang digantung keahlian adalah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), dan Khalib Abdullah (Rompin).

Dua Adun turut digantung keahlian iaitu Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh) dan Ahmad Man (Kuala Sepetang). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.