`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Friday, May 8, 2026

Kerajaan stabil perlu sokongan majoriti semua kaum, kata Saifuddin

 Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata konfigurasi politik sedemikian penting supaya kerajaan mempunyai asas sokongan lebih menyeluruh.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah berkata Konsensus Nasional Baru menekankan kemajuan negara dipacu kekuatan rakyatnya bukan orang asing.
PETALING JAYA:
 Sebuah kerajaan hanya benar-benar stabil apabila parti yang membentuknya mampu mendapat sokongan majoriti semua kaum, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, konfigurasi politik sedemikian perlu diwujudkan bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mempunyai asas sokongan lebih menyeluruh.

Katanya, perkara itu antara asas ‘matlamat disepakati’ dalam Konsensus Nasional Baharu digagaskan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin, bertujuan membina sebuah ‘negara maju yang bersepadu’.

Saifuddin berkata, konsensus itu bermaksud persefahaman rakyat mengenai Malaysia yang diidamkan, dengan kesediaan ‘bersetuju untuk bersetuju’ dalam perkara asas dan substantif, serta ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam isu cabang atau bentuk luaran.

“Tiang pertamanya ialah ‘matlamat disepakati’ iaitu membina negara maju yang bersepadu dengan berlandaskan kekuatan rakyatnya sendiri dan segala manfaatnya dinikmati seluruh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam tulisan bertajuk ‘Matlamat Disepakati Dalam Konsensus Nasional Baharu’ di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.

Bekas menteri luar itu berkata, Malaysia perlu menjadi negara maju yang komprehensif dan futuristik, dengan kemajuan merangkumi semua bidang termasuk ekonomi, sosial, politik, material dan spiritual.

Katanya, kemajuan negara perlu dicapai dengan membesarkan kek ekonomi serta meneroka sumber kekayaan baharu, selain memastikan pembangunan itu mampu mendepani perubahan zaman.

“Malaysia mesti dimajukan oleh kekuatan rakyatnya sendiri, bukannya bergantung kepada orang asing. Justeru, reformasi pendidikan diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, Konsensus Nasional Baharu juga menuntut pembangunan politik baharu dan demokrasi Malaysia yang matang.

“Ia termasuk budaya politik bersih, berintegriti, kerangka tadbir urus baharu serta demokrasi pelbagai kaum dan moderat,” katanya.

Saifuddin turut menekankan keperluan memastikan institusi, sistem dan undang-undang negara juga mencapai taraf dunia, dengan sektor awam ditambah baik termasuk membangunkan pakar dalam pelbagai bidang.

“Proses penggubalan, penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang pula hendaklah dilaksanakan secara telus dan adil,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.