`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, May 9, 2026

PN tiada penyelesaian, hanya jaja ‘cerita hantu’, kata Mahfuz

 'Saban hari dia menjerit kerajaan ini gagal tapi dia sendiri pun tak buat apa-apa,' kata naib presiden Amanah.

mahfuz omar
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, pertahankan usaha pentadbiran Anwar Ibrahim membantu rakyat, seperti kenaikan harga lantai padi sebanyak dua kali, dan bahan api bersubsidi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar membidas pembangkang yang didakwa bergantung pada naratif yang menakut-nakutkan rakyat, bagi menutup kegagalan mengemukakan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan.

Mahfuz menyamakan naratif sebegitu dengan ‘cerita hantu’ kanak-kanak.

“Saban hari dia menjerit kerajaan ini gagal tapi dia sendiri pun tak buat apa-apa. Tiada satu pun penyelesaian yang dikemukakan untuk memberikan kelegaan kepada rakyat,” katanya ketika berucap dalam ceramah di Pulau Pinang malam tadi.

Mahfuz mempertahankan usaha pentadbiran Anwar Ibrahim membantu rakyat, seperti kenaikan harga lantai padi sebanyak dua kali, dan bahan api bersubsidi.

“Kerajaan tidak menjanjikan hidup tanpa susah tetapi bila rakyat susah, kerajaan tidak biarkan mereka sendirian. Kita ada Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani untuk meringankan beban sara hidup,” katanya.

Mahfuz juga mendakwa isu berkaitan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Kedah menunjukkan kelemahan kerajaan negeri bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata kerajaan persekutuan dijangka perlu mengeluarkan peruntukan tambahan kira-kira RM50 juta bagi menyelamatkan projek LRA Sungai Limau, Baling yang terbengkalai, selepas penamatan kontrak asal projek itu tahun lepas.

Katanya, projek yang bernilai hampir RM100 juta itu hanya mencapai kemajuan sekitar 15% hingga 20% sahaja sebelum kerja pembinaan dihentikan, dan kerajaan persekutuan kini terpaksa campur tangan dengan mengambil alih pengurusan projek berkenaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.