`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Thursday, May 7, 2026

Operasi tanpa lesen, 7 resort Semporna dikompaun, diarah tutup sementara

 Beberapa pekerja resort turut ditahan kerana tiada dokumen sah, menerusi operasi bersepadu Motac bersama polis dan APMM.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin berkata, kementeriannya tubuh Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas untuk tangani isu kritikal dalam industri pelancongan di Semporna.
PETALING JAYA:
 Tujuh resort di perairan Semporna dikompaun dan diarah tutup sementara selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen sah, semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin berkata, beberapa pekerja resort turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah menerusi operasi bersepadu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bersama polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Jafry berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan sektor pelancongan di Semporna termasuk aspek pelesenan dan bersedia membantu pengusaha mendapatkan lesen yang diperlukan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pengusaha perlu tampil memohon lesen yang sah.

“Setakat ini, lebih 60 pengusaha pelancongan sedang menunggu kelulusan lesen, namun masih terdapat kira-kira 80 pengusaha yang belum memohon lesen sah,” katanya, lapor Bernama.

Jafry berkata, Motac akan mengambil tindakan berterusan dan tidak menolak kemungkinan pihak berkuasa tempatan bertindak merobohkan struktur binaan yang beroperasi secara tidak sah.

Dalam pada itu, Jafry berkata, bagi menangani isu pekerja tanpa dokumen, kementeriannya telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu kritikal dalam industri pelancongan di Semporna.

“Semporna ini tempat yang cantik, jadi kita mahu pastikan pelancongan yang ditawarkan adalah sah,” katanya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Keselamatan bersama ketua menteri Sabah di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) di Semporna.

“Jika tidak, ia dikhuatiri boleh melibatkan risiko keselamatan pelancong. Sekiranya berlaku insiden, tuntutan insurans juga boleh menjadi masalah. Ini antara risiko yang dihadapi pelancong.”

Dalam pada itu, Jafry berkata, kementeriannya akan memastikan semua pengusaha pelancongan di Sabah beroperasi secara sah dengan memiliki lesen yang dikeluarkan kerajaan, termasuk usaha mengesan operator tidak berlesen di Kundasang.

“Kundasang adalah antara destinasi pelancongan utama Sabah. Kita dapati terdapat kes tidak berlesen, jika berlaku insiden, ia boleh mencalarkan imej Sabah.

“Tambahan pula, kawasan itu berisiko kerana terletak di lereng bukit dan terdedah kepada gempa bumi,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.