Umno mungkin pilihan kurang mudarat, tetapi bolehkah rakyat mempercayainya semula?

Sebagai seorang Melayu-Islam, hubungan saya dengan Umno sentiasa rumit — ada rasa kagum, tetapi pada masa sama penuh kekecewaan. Ia ibarat hubungan cinta-benci yang klasik.
Pada 1980-an dan 1990-an, Umno membawa harapan melalui Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkannya. Bagi saya ketika itu, Umno pilihan paling wajar. Onn Jaafar, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim ialah tokoh yang saya kagumi, manakala Razak Hussein pula tokoh pilihan bapa saya.
Apabila Mahathir dan Anwar bertembung dengan Tengku Razaleigh Hamzah serta Musa Hitam, saya berdiri teguh bersama gandingan Mahathir-Anwar.
Namun pada 1998, segalanya berubah. Keputusan Mahathir memecat dan mengaibkan Anwar meninggalkan rasa pahit dalam hati ramai orang Melayu, termasuk saya sendiri.
Sejak detik itu, kekaguman saya bertukar menjadi kebencian. Selama 28 tahun berikutnya, saya membenci Mahathir. Perkataan ‘Umno’ sendiri menjadi sinonim dengan pengkhianatan.
Kemudian pada 2022, Umno mengalami kekalahan pilihan raya paling buruk dalam sejarahnya.
Namun, parti itu terselamat daripada terus menjadi tidak relevan apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah. Keadaan itu membolehkan Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Ia satu realiti politik baharu — realiti yang terpaksa diterima rakyat Malaysia, sama ada rela atau tidak.
Bagi penyokong PH seperti saya, ‘kemaafan’ terhadap Umno bukanlah kerana kami melupakan segala kesalahan lalu parti itu, tetapi kerana kami melihat gambaran lebih besar.
Menerusi kerjasama dengan PH, Umno membantu menghalang Malaysia daripada jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN), sebuah gabungan cenderung mengangkat naratif perkauman dan agama yang memecah-belahkan rakyat.
Atas alasan itu, Umno mendapat sokongan saya — sekurang-kurangnya sehingga Parlimen dibubarkan.
Pertimbangan saya mudah: Umno ketika itu adalah pilihan yang kurang mudarat. Pilihan yang ada ketika itu ialah antara sebuah parti yang pernah merompak wang pembayar cukai berjuta-juta ringgit dengan sebuah gabungan yang mahu menolak negara ke arah fahaman ekstrem.
Keputusan saya dibuat atas dasar pragmatisme. Pada awal 2022, saya banyak menulis bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Umno wajar diberi peluang kedua.
Sebahagian daripada diri saya juga berharap — walaupun kini saya sedar harapan itu agak naif — bahawa parti itu mungkin berubah. Mungkin kekalahan yang memalukan itu akan memaksa Umno menilai semula hala tujunya atau mungkin pengaruh PH akan mendorongnya melakukan reformasi.
Namun Umno tidak berubah dan kemungkinan besar tidak akan berubah.
Malah, apabila timbul cadangan supaya Khairy Jamaluddin, yang baru-baru ini kembali ke pangkuan Umno, bertanding di Kedah, saya secara terbuka menyokongnya walaupun saya mempunyai keraguan tersendiri. Sekali lagi, ia dibuat atas pertimbangan pragmatik.
Kemudian berlakulah krisis Negeri Sembilan. Keputusan 14 Ahli Adun Umno menarik balik sokongan terhadap seorang menteri besar daripada PKR membuatkan saya tertanya-tanya: adakah mereka bertindak sendiri atau sebenarnya sebahagian daripada satu perancangan lebih besar?
Presiden Umno Zahid Hamidi kemudian tampil menyatakan sokongan terhadap kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan dan saya mendapati diri saya masih memberi parti itu satu peluang terakhir.
Namun, tindakan 14 Adun Umno itu jelas membuka semula luka lama.
Apa pun yang mahu dipercayai orang — sama ada krisis itu dicetuskan oleh Adun yang bertindak sendirian, atau sebahagian percaturan Umno yang lebih rumit — satu perkara tetap jelas: integriti parti itu sekali lagi dipersoalkan.
Bolehkah Umno menjadi sekutu yang boleh dipercayai pada pilihan raya umum akan datang, atau adakah mereka sekadar oportunis yang menunggu masa, dengan pisau tersedia untuk menikam PH dari belakang?
Ramai mungkin sudah memaafkan dosa-dosa lama Umno, tetapi selepas krisis Negeri Sembilan ini, kami mungkin tidak akan melupakannya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.